Semua pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berpeluang menerima bimbingan mentor menjelang 2030 menerusi langkah baharu yang menyediakan 10,000 peluang bimbingan setahun.

Program ITE Mentoring Collective akan menghubungkan pelajar dengan mentor bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus, meneroka pilihan kerjaya dan membuat persediaan memasuki alam pekerjaan.

Langkah itu sebahagian daripada Pelan Belia SG yang diumumkan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) pada Julai, dengan sasaran 20,000 peluang bimbingan setahun menjelang 2030.

Kerjasama antara ITE, NYC dan The Astronauts Collective (TAC), sebuah badan bukan meraih keuntungan (NPO) itu, memperkukuh program bimbingan semasa di tiga kolej ITE, iaitu ITE Kolej Central, Barat dan Timur.

ITE akan menghubungkan pelajar dengan mentor, manakala NYC menyediakan rangkaian, sumber dan pembiayaan.

TAC bersama 18 anggota pengasas, termasuk NTUC, Standard Chartered dan Yayasan Quantedge, cabang kebajikan dana lindung nilai Singapura Quantedge Capital, akan mengkaji keperluan pelajar dan membangunkan program bimbingan.

Berucap pada pelancaran program itu di ITE Kolej Central pada 19 November, Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan, berkata belia kini mempunyai lebih banyak pilihan pendidikan dan kerjaya tetapi mungkin sukar menghadapi perubahan.

“Hampir separuh belia yang kami temui bimbang tentang kemahiran yang diperlukan bagi ekonomi masa depan, walaupun sudah bekerja,” katanya.

Menurut Cik Goh, mentor dapat meningkatkan keyakinan belia melalui perkongsian pengalaman dan membantu mereka mengenal pasti kekuatan diri.

Beliau menggalakkan lebih banyak pertubuhan menyertai program itu menerusi go.gov.sg/imc-interestform.

Pengasas bersama TAC, Encik Marvin Kang, berkata pihaknya telah mendekati lebih 4,000 pelajar ITE sepanjang enam bulan lalu.

Lapan daripada 10 pelajar terbuka menerima bimbingan melalui program ini selepas mengetahui manfaatnya.

Mereka memerlukan sokongan untuk menyesuaikan diri di ITE, mencapai kecemerlangan akademik, memperoleh pengalaman bekerja dan meneroka kerjaya.

Bagi Encik Muhammad Shahid Kamal, 24 tahun, mentor membantunya menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.

Pelajar diploma sambil bekerja dalam bidang kejuruteraan sistem mekanikal itu mula bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan di sebuah syarikat pengilang peralatan perubatan pada April.

Beliau menghadapi kesukaran berinteraksi dan meminta bantuan di tempat kerja.

ITE memadankannya dengan penjawat awam Cik Nicole Paranthaman, 37 tahun, yang membimbingnya setiap bulan selama enam bulan mulai Mei.

“Perkongsian pengalaman beliau memberi saya keyakinan mencuba nasihatnya di tempat kerja,” kata Encik Shahid.

Cik Nicole turut membantunya memahami jangkaan dan komunikasi profesional di tempat kerja.

Walaupun program tamat, Encik Shahid berharap dapat terus mendapatkan nasihat Cik Nicole.

Cik Nicole memberitahu The Straits Times (ST) bahawa beliau berasa seperti “ibu yang bangga” melihat perkembangan Encik Shahid.

“Beliau sentiasa datang dengan nota dan soalan mendalam, menunjukkan kesungguhannya,” katanya.

Ketua Eksekutif ITE, Encik Peter Lam, berkata sesetengah pertubuhan telah membimbing pelajar ITE selama lebih sedekad.

Menurutnya, keprihatinan pihak luar terhadap masa depan pelajar membantu mereka mengenal pasti keupayaan diri dan mencapai kejayaan yang dahulunya dianggap mustahil.