Pengendali prasekolah terbesar Singapura, Yayasan Masyarakat PAP (PCF), akan menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu, Tamil dan Cina di semua prasekolah yang dikendalikannya mulai 2027, berdasarkan permintaan.

PCF yang mengendalikan hampir 350 prasekolah, juga akan menggandakan pelaburan dalam pembangunan kakitangan kepada $20 juta bagi tiga tahun akan datang.

Demikian menurut PCF dalam kenyatannya pada 11 Oktober.

Pengerusi Majlis Pengurusan PCF, Cik Josephine Teo, berkata pelaburan itu penting kerana guru berkebolehan membawa perubahan besar kepada pembelajaran kanak-kanak.

Cik Teo, yang juga Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital menegaskan hak setiap kanak-kanak untuk mendapatkan asas prasekolah yang kukuh tanpa mengira latar belakang.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami perlu meningkatkan keupayaan guru agar mereka lebih berkesan.”

Pelaburan itu menyokong latihan dan pembangunan bagi sekitar 8,000 pendidik dan 500 pemimpin dalam kemahiran karyawan, kepimpinan dan kefahaman digital.

Ia sebahagian pengumuman yang dikeluarkan PCF pada 11 Oktober, semasa acara keluarga untuk meraikan ulang tahun ke-40 di Mandai Wildlife Reserve.

Menurut Cik Teo, PCF Sparkletots akan terus berkongsi sumber bahasa ibunda dengan pengendali prasekolah lain supaya kanak-kanak dan pendidik boleh memanfaatkannya.

Ini termasuk siri warisan, ‘Let’s Set Off!’, yang dibangunkan oleh pakar bahasa dan disediakan di perpustakaan awam.

Selain menyediakan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk membina keupayaan asas dalam bahasa ibunda, PCF Sparkletots juga akan berkongsi panduan amalan bilik darjah terbitan dalamannya dengan sektor prasekolah yang lebih luas.

Ia bagi membantu pengendali prasekolah lain menyokong kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran yang pelbagai.

Ketua Pegawai Operasi (CEO), Cik Marini Khamis, berkata amalan itu termasuk penggunaan gerak isyarat, bahan visual, carta emosi dan jadual bergambar.

Sementara itu, PCF juga akan memperkenalkan model pengurusan berpusat yang dipertingkat bagi mengurangkan tugas pentadbiran di prasekolah PCF Sparkletots supaya pendidik lebih menumpukan perhatian kepada pengajaran.

Model berpusat PCF memindahkan tugas seperti pertanyaan pendaftaran, pembelian pakaian seragam dan lawatan pusat kepada pasukan pakar.

Dilaksanakan sejak 2026, model itu dijangka digunakan 80 peratus pusat PCF menjelang suku pertama 2027.

Dalam ucapannya di acara PCF40 pada 11 Oktober, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, berkata PCF telah membantu lebih sejuta kanak-kanak, sekitar 30,000 warga emas dan lebih 46,000 golongan yang memerlukan sepanjang 40 tahun.

Beliau menekankan kepentingan pendidik yang memahami keperluan keluarga.

Di Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan rancangan pemerintah untuk memperluas rangkaian prasekolah bersubsidi dan mengurangkan yuran penjagaan kanak-kanak sehari penuh kepada $150 serta penjagaan bayi kepada $300 secara berperingkat mulai 2028.

Dalam pada itu, PCF juga merupakan penyedia penjagaan warga emas ketiga terbesar Singapura, dengan 11 pusat penjagaan dan sembilan pusat penuaan aktif.

PCF menyasarkan 25 pusat penjagaan warga emas dan penuaan aktif menjelang akhir 2027.

Ini termasuk pusat baharu seluas lebih 20,000 kaki persegi di Poliklinik Serangoon, dibuka bersama
Yayasan Rawatan di Rumah (HNF) pada separuh pertama 2027.

Menurut Cik Teo, pada 2026 ketika seorang daripada lima warga Singapura berusia lebih 65 tahun, PCF terus memperluas rangkaian pusat penjagaan warga emas bagi menggalakkan penuaan aktif, hubungan sosial dan kegiatan sukarela.

PCF akan terus menyokong kanak-kanak, warga emas dan keluarga, katanya.

Skyler Lee, tujuh tahun, yang mengalami kelewatan perkembangan menyeluruh, menerima sokongan pembelajaran tambahan.

Ibunya, Cik Sabrina Wong, mempelajari kaedah membantu anaknya melalui bimbingan awal dan menggunakan lagu untuk latihan ejaan Skyler, yang kini bersekolah di Sekolah Rendah Peiying.

Kini Skyler, murid Darjah 1 itu berlatih untuk ujian ejaan melalui lagu ciptaan Cik Wong bagi mengekalkan minatnya.

“Dia juga belajar cara bercakap dengan orang lain, menyatakan keperluannya dengan lebih baik dan dapat menyesuaikan diri di sekolah rendah,” kata Cik Wong.