Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua tadika MOE bakal tawar program sepenuh hari jelang 2030
Program rintis di MK@Riverdale dan MK@WestView pada 2027 sebelum diperluas secara peringkat ke 56 pusat
Semua tadika MOE bakal tawar program sepenuh hari jelang 2030
Menjelang 2030, semua Tadika Kementerian Pendidikan (MK) akan menawarkan program sepanjang hari yang baharu merangkumi aspek pembelajaran, bermain dan penjagaan dari 7 pagi hingga 7 malam.
Model Sepanjang Hari (FDM) ini akan dirintis di MK@Riverdale di Sengkang serta MK@WestView di Bukit Panjang pada 2027, sebelum diperluas secara berperingkat ke semua 56 pusat Tadika MOE dari 2028 hingga 2030, umum MOE pada 28 Oktober.
Pada masa ini, MOE menawarkan program empat jam bagi peringkat Tadika Satu dan Tadika Dua untuk kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di 56 pusat MK miliknya.
Ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan sepanjang hari boleh memilih program Penjagaan Tadika (KCare), yang disediakan oleh penyedia khidmat luar yang dilantik oleh MOE.
Model sepanjang hari akan dikendali oleh para pendidik MK, dengan sokongan Pegawai Program Tadika MOE yang layak.
MOE akan memastikan pegawai program tadika dilatih selaras dengan piawaian sektor gensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), dan latihan tersebut akan merangkumi aspek penting berkaitan interaksi serta keselamatan kanak-kanak.
MOE menjelaskan bahawa peranan pendidik MK akan tertumpu kepada pengendalian kurikulum model sepanjang hari, manakala pegawai program akan menyokong dari aspek penjagaan dan penyeliaan kanak-kanak, termasuk semasa waktu makan serta rutin harian yang lain.
Apabila ditemui ahli media di MK@WestView pada 28 Oktober, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata semakan model tadika tersebut didorong oleh maklum balas daripada pendidik MK, ibu bapa dan keperluan sektor prasekolah yang berubah.
Menerusi model sepenuh hari, beliau berharap pendidik MK dapat mendekati kanak-kanak dengan lebih menyeluruh, memahami keperluan mereka serta memberi sokongan lebih khusus.
Dr Syed Harun menambah bahawa MOE akan mengambil iktibar daripada program rintis tersebut sebelum melancarkan model sepenuh hari di semua pusat MK mulai 2028.
Ini termasuk meneliti kaedah terbaik bagi menyokong pendidik MK, khususnya dalam aspek beban kerja dan pembangunan profesional, kongsinya.
“Semakin baik kita menjaga kebajikan pendidik MK kita, semakin banyak manfaat yang boleh diraih oleh murid-murid kita,” katanya.
MOE berkata program sepenuh hari tersebut akan menyediakan kesinambungan pembelajaran yang lebih baik serta interaksi bersifat lebih berterusan dengan kakitangan tadika MOE demi mengukuhkan hubungan mereka.
Ia juga membuka lebih banyak peluang untuk terus memperkasa pembelajaran mereka.
Kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik juga akan meraih manfaat daripada persekitaran pembelajaran yang lebih lancar dan menyokong, tegas MOE.
Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh pemerintah untuk membantu keluarga mendapatkan akses kepada prasekolah yang bermutu dan berpatutan, seperti yang digariskan dalam Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.
MOE menambah bahawa kebanyakan ibu bapa memilih khidmat sepenuh hari.
Kini, sekitar 65 peratus daripada sekitar 8,000 kanak-kanak menghadiri khidmat sepenuh hari KCare.
Di bawah model sepenuh hari yang baharu, tadika akan beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam pada hari biasa dan semasa penggal serta cuti sekolah.
Ini tidak termasuk cuti umum, cuti sekolah yang ditetapkan serta hari penutupan pusat.
Ibu bapa yang tidak memerlukan perkhidmatan sepanjang hari boleh terus memilih program separuh hari, yang dikendali dari 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Antara program yang diperkenalkan dalam kurikulum ialah Spotlight, iaitu pembelajaran berteraskan permainan untuk mengasah kemahiran bahasa ibunda secara kendiri.
Ini di samping kegiatan bermain di luar menggunakan bahan seperti papan kayu dan tayar serta kegiatan semasa musim cuti yang melibatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), drama dan seni visual.
Spotlight merupakan kegiatan tambahan kepada pembelajaran ibunda sedia ada, yang tertumpu kepada pembinaan kemahiran asas dan pendedahan kepada budaya masing-masing.
Salah seorang pendidik MK@WestView, Guru Kanan (Bahasa Melayu) Cik Nur Jannah Fatin Mohamed, berkata:
“Spotlight menyediakan lebih banyak peluang untuk kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda untuk berinteraksi dengan rakan-rakan, bertanyakan soalan, meneroka minat dan kebolehan mereka.”
Dalam kegiatan itu, pendidik akan memainkan peranan sebagai pembimbing untuk memastikan bahasa ibunda digunakan secara berkesan.
Cik Nur Jannah berkata pembelajaran bahasa ibunda memerlukan kesinambungan berterusan, dan percaya Spotlight dapat menyediakan persekitaran pembelajaran demikian.
Bagi yuran bulanan, ibu bapa akan membayar satu yuran kepada pusat MK, berbanding yuran berasingan kepada tadika dan KCare.
Di dua tadika MK di bawah program rintis, yuran bulanan bagi kanak-kanak warganegara Singapura setelah mengambil kira subsidi berada dalam lingkungan $3 hingga $425 bagi program sepanjang hari, dan $1 hingga $160 bagi program separuh hari.
Tanpa subsidi, yuran ditetapkan pada $665 (sepenuh hari) dan $310 (separuh hari) bagi warganegara Singapura.
Senarai tadika yang menggunakan model baharu itu bagi setiap tahun akan diumumkan semasa latihan pendaftaran MK pada Mac tahun sebelumnya.
MOE memberi jaminan bahawa bayaran yang perlu dikeluarkan oleh ibu bapa adalah setanding dengan jumlah yuran gabungan MK dan KCare sedia ada, serta yuran di pusat penjagaan kanak-kanak sepanjang hari pengendali utama di bawah naungan Ecda.
Bagi aspek tenaga manusia untuk menyokong peralihan kurikulum, MOE akan mendapatkan lebih ramai kakitangan.
Ini di samping sokongan daripada golongan pegawai program MK.
Kakitangan KCare yang layak juga boleh direkrut sebagai pegawai program MK, jelas MOE.
Jumlah pendidik dan pegawai program di setiap tadika akan tertakluk kepada jumlah pendaftaran kanak-kanak.
Tempoh kerja setiap pendidik juga dikekalkan dan pendidik akan bertugas pada syif berbeza, tambah MOE.
Cuti para pendidik semasa tempoh cuti sekolah turut dikekalkan dan boleh terus diambil mengikut giliran.
MOE akan bekerjasama dengan pusat MK, sekolah dan pengendali KCare untuk memastikan peralihan kepada model sepenuh hari berjalan dengan lancar.