Sambutan Hari Kebangsaan 2026 memberi peluang pada keluarga untuk meluangkan masa bersama.

Berita Harian (BH) menguar-uarkan beberapa kegiatan dan tempat yang orang ramai boleh kunjungi pada hujung minggu ini (8-10 Ogos).

Antara kegiatan yang bakal dianjurkan termasuk sambutan konsert di Our Tampines Hub (OTH) selama tiga hari, acara larian dan menunggang basikal anjuran TOGOSG, penampilan Panda Merah baharu di River Wonders dan persembahan Cahaya serta Muzik ‘Home’ yang ikonik di Jewel Rain Vortex, Lapangan Terbang Changi.

Kunjungi Yaffa, Panda Merah baharu di River Wonders, Mandai Wildlife Reserve (MWG)

Seekor panda merah baharu sedang bersiap sedia untuk menyambut pengunjung di River Wonders, MWG pada hujung minggu Hari Kebangsaan ini.

Yaffa, seekor panda merah jantan berusia 11 tahun, akan membuat penampilan rasmi pertamanya di pameran panda merah yang baru dibina di zon Sungai Yangtze.

Yaffa tiba dari Zoo Taipei sebagai sebahagian daripada program pertukaran haiwan, sekali gus menjadi panda merah baharu yang menyertai River Wonders dalam tempoh 12 tahun.

Zoo bertemakan sungai itu turut menempatkan seekor lagi panda merah bernama Karma di Giant Panda Forest.

Panda merah yang berasal dari Asia disenaraikan sebagai spesies terancam, dengan kurang daripada 10,000 ekor masih hidup di habitat liar.

Penduduk Singapura boleh menikmati penjimatan eksklusif dan pakej tiket melalui WildPass, keahlian digital percuma.

Acara Our Tampines, Beyond Heartbeats

Bertemakan Our Tampines, Beyond Heartbeats, OTH bakal mengadakan sambutan tiga hari hujung minggu ini bagi meraikan Hari Kebangsaan Singapura ke-61.

Sambutan tersebut merangkumi Upacara Memperingati Hari Kebangsaan, konsert yang memukau, serta pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.

Pengunjung dapat menjangkakan beberapa persembahan seperti tarian Melayu oleh kumpulan Azpirasi dan persembahan nyanyian oleh Amni Musfirah, Angel Vaishilee dan Tabitha Nauser.

Selain itu, beberapa acara buat seisi keluarga turut dianjurkan seperti bengkel memasak Ayam Masak Merah serta membuat Kuih Sago bagi dewasa dan klinik bola sepak serta wushu bagi kanak-kanak.

Berlari dan menunggang basikal bersama TOGOSG61

TOGOSG61 ialah cabaran larian dan mengayuh basikal percuma sempena ulang tahun Singapura ke-61 yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 1 September 2026.

Dianjurkan oleh Togoparts, wadah teknologi pengumpulan dana yang berpangkalan di Singapura untuk menyokong President’s Challenge, inisiatif itu menggalakkan peserta melengkapkan jarak sejauh 60 kilometer (km) secara sekali gus atau berperingkat sepanjang bulan.

Sama ada berlari-lari anak pada waktu pagi sebelum bekerja, berjalan bersama keluarga pada hujung minggu, berbasikal santai di laluan Rangkaian Penghubung Taman (PCN) atau berulang-alik setiap hari dengan basikal, setiap kilometer yang ditempuhi menjadi tanda semangat meraikan Singapura melalui nilai kebaikan, kemurahan hati dan semangat kemasyarakatan.

Penyertaan adalah percuma dan merangkumi e-bib, halaman kutipan dana yang diperibadikan serta e-sijil penamat.

Aktiviti akan diselaraskan secara automatik melalui aplikasi Strava ke papan kedudukan individu dan pasukan, sementara para peserta bekerjasama untuk mencapai sasaran kolektif sejauh 160,000 kilometer.

Peserta yang berjaya menamatkan cabaran juga akan menerima pingat kenang-kenangan yang khusus.

Sambut Hari Kebangsaan di Lapangan Terbang Changi dan Jewel

Lapangan Terbang Changi dan Jewel bakal menyambut Hari Kebangsaan Singapura sepanjang Julai dan Ogos 2026 dengan pelbagai acara serta persembahan secara langsung.

Antara tarikan utama ialah pengalaman warisan Peranakan yang baharu di Jewel, kembalinya Persembahan Cahaya & Muzik ‘Home’ yang ikonik di Jewel Rain Vortex, serta pameran hortikultur bertemakan Hari Kebangsaan di seluruh terminal.

Pengunjung juga boleh menikmati penjimatan 2XGST di kedai-kedai runcit tertentu di kawasan awam Lapangan Terbang Changi.

Tawaran beli satu percuma satu turut diadakan di Jewel Canopy Park dan pengunjung boleh menyertai pemburuan cop di seluruh Changi sempena ulang tahun ke-61 Singapura.