Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeni tradisi milik bersama satukan pelbagai kaum
Tidak ramai yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai kakitangan awam demi melestarikan seni tradisi.
Namun, bagi Faezan Redwan, keputusan itu bukan sekadar mengubah kerjaya.
Ia lahir daripada keyakinan bahawa warisan budaya hanya akan terus hidup jika ada pihak yang sanggup melangkah lebih jauh untuk memperjuangkannya.
Sebagai Pengurus Projek bagi kumpulan Gamelan Asmaradana, tugas beliau merangkumi penyelarasan program seni di pelbagai institusi pendidikan, pengurusan hubungan pelanggan, serta pengendalian logistik dan inventori alat muzik tradisional itu.
Selain itu, beliau juga mengemudi pelaksanaan kreatif dan teknikal sesebuah persembahan, termasuk memimpin sesi latihan dan mengawasi sokongan produksi secara menyeluruh.
Lebih daripada sekadar mempersembahkan atau mengajar muzik gamelan, beliau juga mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap seni tradisi daripada sesuatu yang kerap dianggap hanya tinggal dalam lipatan sejarah, kepada warisan yang terus berkembang, kekal terkait dan mencerminkan identiti Singapura hari ini.
“Bagi saya, budaya bukan sesuatu yang statik. Ia sentiasa berubah mengikut perjalanan masa.
“Yang penting, perubahan itu berlaku secara semula jadi dan masih menghormati asas serta nilai tradisi itu sendiri,” kata pencinta seni berusia 42 tahun itu.
Kepercayaan itu turut membentuk pandangannya terhadap gamelan.
Walaupun seni itu berasal dari kepulauan Jawa, Faezan percaya ia telah melalui perjalanan panjang di Singapura sehingga layak dianggap sebagai sebahagian daripada warisan budaya negara.
“Ia sudah lama bertapak di sini. Di sekolah ada kegiatan kokurikulum (CCA) gamelan, di balai rakyat ada kumpulan gamelan dan ramai penggiatnya juga lahir serta membesar di Singapura.
“Bagi saya, ia sudah menjadi sebahagian daripada identiti budaya negara ini,” katanya.
Apabila Gamelan Asmaradana membuat persembahan di luar negara, kumpulan itu sengaja mengetengahkan identiti Singapura.
Selain mempersembahkan repertoir tradisional, mereka turut menggabungkan instrumen Barat seperti flut dan saksofon bersama gamelan, di samping memainkan karya baru hasil ciptaan anggotanya sendiri.
“Kami bukan cuba menjadi kumpulan gamelan Jawa semata-mata. Kami membawa identiti sendiri sebagai kumpulan gamelan Singapura,” kata Faezan.
Baginya, kepuasan sebenar bukan sekadar menghasilkan persembahan, sebaliknya, ia hadir apabila melihat generasi muda mula mencintai seni tradisi dengan cara mereka sendiri.
Beliau masih mengingati satu detik yang tidak pernah dilupakan apabila sekumpulan pelajar berusia sekitar 17 dan 18 tahun menaiki pengangkutan awam bersama selepas selesai latihan.
Tanpa segan silu, mereka menyanyikan melodi gamelan yang baru dipelajari walaupun dikelilingi penumpang lain.
“Mulanya saya rasa malu juga. Tapi lama-kelamaan saya rasa bangga.
“Mereka benar-benar menikmati muzik itu. Mereka menyanyi sebab mereka suka,” katanya tersenyum.
Bagi beliau, detik kecil itu memberi keyakinan bahawa seni tradisi masih mempunyai masa depan.
Lebih daripada mempelajari muzik, gamelan mengajar nilai yang semakin penting dalam kehidupan hari ini.
“Dalam gamelan, tiada satu instrumen yang lebih penting daripada yang lain.
“Kita belajar mendengar antara satu sama lain, menerima kesilapan dan bergerak sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Bagi Faezan, falsafah itu bukan sahaja membentuk seorang pemuzik yang lebih baik, malah seorang insan yang lebih merendah hati.
Dalam Gamelan Asmaradana sendiri, anggotanya terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang – Melayu, Cina, India dan juga warga asing, yang berkongsi minat terhadap seni yang sama.
“Kami tidak terlalu memikirkan siapa Melayu, siapa Cina atau siapa orang Barat. Kami semua berkongsi minat yang sama.”
Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 2026, Faezan berharap lebih ramai ibu bapa memberi peluang kepada anak mereka mendekati seni tradisi, sama ada gamelan, kompang, tarian Melayu atau mana-mana bentuk seni budaya tempatan.
Baginya, usaha itu bukan sekadar mempelajari muzik atau tarian.
Lebih penting lagi, langkah itu memateri asal usul dan jati diri generasi muda sebelum mereka melayari arus globalisasi
“Kalau kita mahu hidup dalam masyarakat berbilang kaum, kita kena tahu jati diri kita dahulu.
“Bila kita kenal siapa diri kita, barulah kita lebih mudah menghargai budaya orang lain,” ujarnya.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
“
“Budaya bukan sesuatu yang statik. Ia sentiasa berubah mengikut perjalanan masa. Yang penting, perubahan itu berlaku secara semula jadi dan masih menghormati asas serta nilai tradisi itu sendiri.”