Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seorang penumpang SQ321 kini di hospital S’pura, 20 masih dirawat di Bangkok

Jun 5, 2024 | 4:02 PM
Topeng oksigen bergantungan di dalam pesawat SQ321 semasa pendaratan cemas di Bangkok selepas berlaku “gelora udara ekstrem” secara tiba-tiba.
Topeng oksigen bergantungan di dalam pesawat SQ321 semasa pendaratan cemas di Bangkok selepas berlaku “gelora udara ekstrem” secara tiba-tiba. - Foto REUTERS

Seorang penumpang yang cedera di muka dan tulang belakang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang dilanda gelora udara telah dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth Novena.

Pesakit warga Singapura itu, yang juga mengalami kesakitan di bahagian leher dan bahu, tidak memerlukan pembedahan, kata seorang jurucakap bagi IHH Healthcare Singapura, yang mengendalikan Hospital Gleneagles, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Mount Elizabeth Novena dan Hospital Parkway East.

Sementara itu, Hospital Besar Sengkang dan Hospital Besar Singapura berkata mereka tidak menerima sembarang pesakit yang berada dalam pesawat itu.

Hospital lain di Singapura enggan mengulas, dengan beberapa hospital memberi alasan sebagai rahsia pesakit. SIA juga enggan mengulas apabila ditanya tentang penumpang yang dirawat di hospital Singapura.

Pada 21 Mei, SQ321 mengalami “gelora udara yang ekstrem” di Lembangan Irrawaddy di selatan Myanmar apabila pesawat Boeing 777-300ER itu dalam perjalanan ke Singapura dari London.

Juruterbang mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, dan telah meminta perkhidmatan perubatan segera menunggu ketibaan pesawat.

Kejadian itu meragut nyawa seorang penumpang British, Encik Geoffrey Kitchen, 73 tahun, yang disyaki mengalami serangan jantung, manakala ramai yang lain mengalami kecederaan.

Terdapat 211 penumpang dan 18 kru di dalam penerbangan. Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin, Hospital Samitivej Sukhumvit dan Hospital Bangkok untuk rawatan.

Pada 5.30 petang pada 4 Jun, SIA berkata di laman Facebook bahawa 20 penumpang dari SQ321 masih dirawat di hospital Bangkok.

Syarikat penerbangan itu menyatakan ia komited membantu penumpang dan kru, termasuk keluarga dan orang tersayang mereka, dan menggesa mereka yang memerlukan bantuan tambahan atau ingin membuat tuntutan supaya menghubunginya menerusi butiran hubungan yang disediakan.

Satu laman sokongan yang ditubuhkan oleh dua penumpang – flight321help.com – bertujuan membantu penumpang yang terjejas berhubung antara satu sama lain dan mendapatkan nasihat. Ia mempunyai kira-kira 10 pendaftaran pada 4 Jun.

Sebelum ini laporan media menyatakan bahawa peraturan baru syarikat penerbangan SIA, yang memerlukan khidmat sajian makanan dan minuman dalam pesawat dihentikan dan kru kabin kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan, memberi ‘kesan gelombang’ terhadap penumpang dan kru.

Kebanyakan responden yang bercakap dengan ST berkata mereka memahami keperluan SIA untuk mengemas kini peraturannya.

Namun, sebilangan penumpang setia SIA berpendapat peraturan baru itu dilaksanakan secara tergesa-gesa dan berkata langkah baru itu sudah pun menjejas pelbagai perkhidmatan SIA, selain membuat kru kabin mengalami masalah stres yang meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg