Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah keselamatan baru SIA jejas khidmat dalam pesawat

May 30, 2024 | 7:38 PM
Dengan peraturan baru bagi khidmat dalam pesawat SIA, kru kabin perlu kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan.
Dengan peraturan baru bagi khidmat dalam pesawat SIA, kru kabin perlu kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan. - Foto ST

Peraturan baru syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), yang memerlukan khidmat sajian makanan dan minuman dalam pesawat dihentikan dan kru kabin kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan, kini memberi ‘kesan gelombang’ terhadap penumpang dan kru.

Kebanyakan responden yang bercakap dengan The Straits Times (ST) berkata mereka memahami keperluan SIA untuk mengemas kini peraturannya.

Namun, sebilangan penumpang setia SIA berpendapat peraturan baru itu dilaksanakan secara tergesa-gesa dan berkata langkah baru itu sudah pun menjejas pelbagai perkhidmatan SIA, selain membuat kru kabin mengalami masalah stres yang meningkat.

SIA melaksana langkah keselamatan lebih menyeluruh selepas pesawat SQ321 yang menuju ke Singapura dari London, menempuh gelora udara ekstrem semasa melalui Lembangan Irrawaddy di Myanmar pada 21 Mei.

Kejadian tersebut menyebabkan seorang penumpang maut dan lebih 30 penumpang lain cedera.

Sebelum ini, hanya minuman dan sup panas tidak disajikan apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan dan khidmat sajian disambung semula kemudiannya mengikut budi bicara kru kabin.

Namun, kini semua khidmat menyajikan makanan dan minuman dihentikan apabila lampu tali pinggang keledar dinyalakan.

Seorang penjawat awam, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Matthew, 32 tahun, berkata walaupun beliau akur aspek keselamatan amat penting, kesan peraturan baru itu dirasai oleh kru kabin dan penumpang, terutama bagi penerbangan jarak dekat.

“Ia seakan reaksi terburu-buru kerana dilaksanakan dengan begitu pantas. Beberapa kru memberitahu saya mereka berasa tertekan (kerana memikirkan) sama ada mereka mempunyai cukup masa untuk selesaikan tugas menyajikan makanan dan minuman.”

Khidmat sajian makanan terjejas

Bagi penerbangan kapasiti penuh kelas ekonomi, tugas menyajikan makanan dan minuman mengambil masa satu hingga dua jam untuk diselesaikan, tanpa gangguan.

Bagi kelas perniagaan, beberapa jenis sajian dihidang bagi penerbangan jarak sederhana dan jauh, manakala makanan dalam dulang pakai buang yang ringkas disaji bagi penerbangan jarak dekat.

Selain itu, khidmat sajian makanan sering memerlukan kru terus berada di kabin.

Apabila ditanya sama ada penumpang akan diberi pampasan jika khidmat sajian makanan terhenti dalam tempoh lama, berapa lama peraturan baru itu akan dilaksanakan dan sama ada peraturan baru itu akan diluaskan kepada syarikat penerbangan Scoot, iaitu, anak syarikat SIA, jurucakap SIA berkata:

“SIA dan Scoot akan terus menyemak dan mengubah suai prosedur (bagi khidmat) dalam pesawat kami, jika perlu.”

Seorang jurutera, Encik Zac Tng, 30 tahun, yang menaiki pesawat SIA dari Seattle di Amerika ke Singapura pada 23 Mei, berkata sajian makanan dan minuman dalam pesawat itu ditangguh tiga kali disebabkan insiden gelora udara.

Penumpang kelas ekonomi itu turut berkata lampu tali pinggang keledar dinyalakan tiga atau empat kali dalam tempoh sejam.

Pengasas laman web pelancongan MileLion, Encik Aaron Wong, yang menaiki pesawat SIA dari Paris ke Singapura dalam kelas perniagaan pada 22 Mei, pula berkata:

“Gelora udara ringan hingga sederhana tidak seharusnya menimbulkan masalah bagi kru kabin yang sihat dan terlatih.”

“Oleh itu, tiada logik untuk melaksana set peraturan gelora udara yang sama untuk kededua penumpang dan kru,” katanya.

Penumpang dalam penerbangan jarak jauh biasanya dihidangkan dua sajian makanan – yang pertama sejurus selepas penerbangan dibuat dan sekali lagi sekitar dua setengah hingga tiga jam sebelum pesawat mendarat.

Bagaimanapun, Encik Wong berkata sajian keduanya, iaitu sarapan, dihidang enam jam sebelum pesawat dijadual tiba di lapangan terbang pada 6.20 pagi.

Penumpang lebih proaktif jaga keselamatan diri

Penganalisis data, Encik Jeffrey Teo, 29 tahun, yang ‘terbang’ ke Vietnam dengan syarikat penerbangan tambang rendah Scoot pada 22 Mei, pula mendapati ramai penumpang terus memakai tali pinggang keledar sepanjang penerbangan dan pergi ke tandas lebih awal, dan bukannya selepas juruterbang mengumumkan bahawa pesawat akan mendarat tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg