Sertai ‘Cruise Healing’ bersama BH
Bersembang di bawah bintang di atas kapal ‘Genting Dream’ bersama Kak Lina Pom Pom, Ustaz Dr Hannan Hassan dan Suhaimi Yusof
Bersembang di bawah bintang di atas kapal di tengah laut dapat menenangkan jiwa. Ini dapat dinikmati jika anda menyertai ‘Cruise Healing’ anjuran Kaki Jalan, Berita Harian (BH).
Kaki Jalan ialah ruangan pelancongan yang merupakan antara tonggak kandungan BH.
‘Cruise Healing’ ini merupakan satu pelayaran dari Singapura ke Melaka dan kembali ke Singapura.
Ia berlangsung dari 26 hingga 28 April menggunakan kapal persiaran Genting Dream.
Sepanjang pelayaran itu peserta akan dihiburkan oleh penyanyi yang juga pelakon, pengacara dan pelawak dari Malaysia, Elly Mazlein, yang juga dikenali sebagai ‘Kak Lina Pom Pom’. Beliau akan berganding bersama personaliti terkenal Singapura, Suhaimi Yusof.
Kak Lina akan beramah-tamah bersama penumpang dan menyanyi beberapa lagu.
Pelayaran itu akan juga disertai mantan timbalan mufti Singapura, Ustaz Dr Hannan Hassan, yang akan bersembang bersama penumpang dalam tazkirah pagi, mengongsi pengisian kerohanian di bawah bintang.
Pelayaran ini dirancang untuk memberi peluang kepada peserta mencari kembali ketenangan diri dan menyegarkan semula jiwa serta rohani setelah sebulan menyambut Hari Raya.
Mengulas mengenai usaha ini, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata: “‘Cruise healing’ ini merupakan sebahagian usaha BH mendekati pembaca sejajar dengan terbentuknya ruangan Kaki Jalan sebagai salah satu tonggak kandungan akhbar ini.
“Kami berharap usaha ini dapat merapatkan hubungan BH bersama pembaca supaya akhbar ini dapat terus memainkan peranan penting dalam mendekati masyarakat Melayu tempatan.”
Genting Dream akan berlabuh berdekatan bandar Melaka, yang menawarkan pemandangan indah landskap dan pantai.
Penumpang yang turun dari kapal boleh menikmati perjalanan singkat menaiki bot tender melalui Sungai Melaka ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Dari situ, penumpang hanya perlu berjalan sekitar 15 minit untuk ke beberapa daya tarikan Melaka yang berdekatan, seperti Jonker Street, dan membeli-belah.
Harga pelayaran bermula daripada $299 seorang bagi bilik ‘Interior Stateroom’ yang dikongsi dua orang.
Bagi pemegang kad DBS/POSB, terdapat diskaun tambahan sebanyak 5 peratus, menggunakan kod ‘DBS5’.
Mereka yang berminat boleh menempah tempat dengan mengimbas kod QR yang tertera, melungsur laman www.stardreamcruises.com atau menghubungi Dream Cruises di talian +65 800 852-8188.

