Topik diikuti
Pergi ke BHkuSetiap koreografi, gerak-geri diperhalusi demi hiburkan penonton
Pereka tari yang juga peserta ‘Babak 4: Go Beyond Time’ kongsi cabaran sajikan segmen rancak yang bakal imbau kenangan lalu S’pura
Bagi penonton yang menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, Babak 4: Go Beyond Time akan dipersembahkan sebagai sebuah perayaan rancak yang mengimbau kenangan bersama rakyat Singapura.
Ia termasuk menampilkan rancangan televisyen ikonik, kempen nasional serta personaliti yang telah membentuk pelbagai generasi rakyat Singapura.
Namun, apa yang mungkin tidak disedari ramai adalah di sebalik setiap gerakan di pentas, terdapat perancangan selama berbulan-bulan.
Latihan pula mengambil masa berjam-jam serta penyesuaian berterusan bagi memastikan setiap peralihan berlangsung lancar.
Antara individu yang membantu menghidupkan segmen tersebut ialah koreografer dan peserta babak tersebut, Muhammad Nur Afiq Noorazwa, 33 tahun.
Beliau memberitahu Berita Harian (BH), beliau, proses menghasilkan koreografi bukan sahaja melibatkan penciptaan gerakan tarian.
Bahkan, ia memerlukan kebolehan menyesuaikan diri dan menyelesaikan pelbagai masalah, dengan setiap sesi latihan memberi peluang baharu untuk memperkemas persembahan sebelum Hari Kebangsaan.
“Setiap kali kami menjalani latihan atau membuat persembahan, ia merupakan peluang untuk menjadikannya lebih kemas, lebih lancar dan saya rasa, lebih menghiburkan.
“Kami juga melihat dari segi cara persembahan itu disampaikan, serta pilihan koreografi dan pendekatan dramaturgi yang boleh ditampilkan supaya persembahan ini dapat diterima dengan lebih baik oleh penonton.
“Dalam kalangan para peserta, terdapat satu gurauan bahawa mereka hanya akan mendapat jawapan muktamad pada 8 Ogos,” kata penggiat seni tari itu, yang merupakan anggota Music and Drama Company (MDC) di bawah So Drama! Entertainment.
Sebagai salah seorang pereka tari bagi babak tersebut, beliau ditugaskan menghasilkan gerakan tarian yang diinspirasikan daripada lagu tema televisyen klasik.
Di samping itu, beliau turut bekerjasama rapat dengan para pereka tari daripada MDC dan Persatuan Rakyat (PA) di bawah bimbingan Ketua Pereka Tari NDP 2026 serta pasukannya.
Namun, proses tersebut bukan sekadar menghasilkan rutin tarian.
Pentas berbentuk arah panah, yang berukuran 162 meter panjang dan 74 meter lebar, merupakan antara cabaran persembahan terbesar dan paling kompleks sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia termasuk penggunaan lif pentas dan laluan keluar masuk terowong, serta pergerakan ratusan peserta di belakang tabir pentas.
Selain itu, wadah digital seperti Google Drive dimanfaatkan untuk berkongsi idea, memuat naik rakaman latihan dan memperhalusi konsep reka tari sebelum ia diuji di lokasi latihan.
“Kami sebagai koreografer datang ke ruang tersebut dengan beberapa rancangan.
“Namun, apabila berada di Stadium Negara, kami kadangkala perlu menggabungkan, misalnya, pelan pertama dan kedua, sebelum menentukan pendekatan yang terbaik untuk diteruskan,” ujarnya.
Meskipun telah terlibat dalam lebih 10 NDP sejak pertama kali mengambil bahagian pada usia 13 tahun, Nur Afiq berkata keterujaan itu tidak pernah pudar.
Kini, segala persiapan selama berbulan-bulan bakal diterjemahkan di pentas Stadium Negara pada 9 Ogos, apabila beliau sekali lagi tampil menghidupkan Babak 4 bersama ratusan peserta lain.
“Apabila pasukan Babak 4 mula-mula menerima taklimat, kami rasakan ia seolah-olah seperti menonton algoritma TikTok yang dipersembahkan di atas pentas.
“Penonton berpeluang menonton satu segmen, kemudian terus beralih kepada segmen yang seterusnya, dan kemudian yang berikutnya.
“Itulah persembahan yang kami ingin hasilkan... sebuah persembahan yang pantas, bertenaga dan sentiasa bergerak. Saya harap tenaga itu dapat dikongsi sama para penonton,” ujar Nur Afiq, dengan penuh harapan.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
