Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama antara negara jiran lindungi rakyat, ekonomi masing-masing
Vivian: PM Wong, Prabowo tetapkan komitmen bekerjasama hadapi cabaran
Kerjasama antara negara jiran lindungi rakyat, ekonomi masing-masing
Setiap pemerintah memikul tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan asas, termasuk tenaga, sentiasa mencukupi bagi rakyat dan ekonomi masing-masing.
Namun, negara jiran juga boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk melindungi ekonomi dan rakyat mereka, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bercakap kepada pihak media pada 28 Oktober semasa menggulung lawatan kerjanya ke Jakarta, Indonesia, beliau berkata terdapat nilai besar untuk negara jiran bekerjasama.
“Bekerjasama dengan negara lain dan melindungi kepentingan nasional negara sendiri bukan sesuatu yang saling eksklusif.
“Kita tidak perlu memilih antara satu dan mengorbankan yang lain kerana itu adalah satu dikotomi yang palsu,” kata Dr Balakrishnan.
Beliau berkata demikian kepada pihak media susulan pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, pada 28 Oktober.
Dr Balakrishnan berkata komunikasi peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Presiden Prabowo telah menetapkan “komitmen politik di kedua-dua pihak untuk melakukan apa yang perlu”.
“Saya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut, tetapi biar saya beri jaminan bahawa komunikasi telah berlaku di peringkat tertinggi antara Perdana Menteri saya dengan Presiden Prabowo.
“Ia menetapkan komitmen politik di kedua-dua pihak untuk melakukan apa yang perlu. Kini kita perlu melaksanakan rancangan itu dan menyempurnakan komitmen tersebut,” kata Dr Balakrishnan.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Encik Teddy Indra Wijaya, menyatakan pada 28 Oktober bahawa Dr Balakrishnan telah memohon untuk bertemu dengan Presiden Prabowo.
Sekretariat Presiden turut memaklumkan bahawa Encik Prabowo kekal komited untuk mengekalkan hubungan baik serta memperkukuh komunikasi dengan negara-negara jiran.
Dr Balakrishnan sedang melakukan lawatan kerja dan memimpin delegasi Singapura ke ibu kota negara itu dari 27 hingga 29, yang turut disertai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Lawatan itu berlangsung ketika Singapura dan Indonesia sedang berusaha menangani beberapa isu dua hala, termasuk masalah jerebu akibat kebakaran di Indonesia serta pengurangan bekalan gas asli melalui saluran paip ke Singapura.
Dr Balakrishnan berkata Singapura dan Indonesia, sebagai jiran kekal, akan sentiasa saling bergantung dan menghadapi cabaran bersama, termasuk jerebu serta pandemik.
Beliau mengakui bahawa perbezaan dari segi keutamaan dan pendekatan tidak dapat dielakkan, yang kadangkala turut disertai dengan perbezaan pendapat dalam aspek politik.
“Namun, pada saat-saat sebeginilah, penting untuk kita kekal tenang dan berfikiran rasional,” katanya, sambil menekankan keperluan untuk mengadakan perbualan yang terus terang, jujur dan membina.
Mengulas mengenai keselamatan tenaga serantau dan kebimbangan terhadap peningkatan “nasionalisme sumber”, Dr Balakrishnan berkata beliau tidak bersetuju jika tindakan sesebuah pemerintah yang melindungi kepentingan negara dan rakyatnya dilabel sedemikian.
Ini kerana langkah tersebut adalah wajar bagi mana-mana pemerintah untuk berusaha menjaga kebajikan rakyatnya.
“Tanggungjawab setiap pemerintah adalah untuk memastikan bekalan penting, termasuk tenaga, tersedia untuk rakyat dan ekonomi sendiri.
“Itu adalah tanggungjawab domestik dan utama kita semua,” kata Dr Balakrishnan.
Dari segi kerjasama dan kontrak rentas sempadan, beliau berkata apa yang diwakili oleh kontrak tersebut adalah penggemblengan kewangan merentasi sempadan bagi menggalakkan peluasan prasarana tenaga.
Oleh itu, beliau berkata negara-negara dapat mencapai ekonomi skala, malah juga berupaya menurunkan kos seunit bagi penghasilan tenaga atau bekalan penting yang lain.
Menurutnya, inisiatif serantau seperti Grid Kuasa Asean serta pelaburan modal ke atas prasarana tenaga adalah pendekatan yang tepat di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Ini bertambah genting memandangkan lonjakan revolusi kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan pesat pusat data yang memerlukan kapasiti tenaga yang jauh lebih besar, tambahnya.
“Langkah yang paling kurang mendatangkan penyesalan ialah dengan terus melabur, meneruskan perkongsian, terus memeterai kontrak jangka panjang, serta memperluas skala prasarana nasional dan serantau kita.
“Dengan cara ini, anda bukan sahaja dapat menumpukan perhatian kepada negara sendiri dan bersedia menghadapi persaingan, malah turut bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang mungkin timbul dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 27 Oktober, Dr Balakrishnan telah bertemu dengan Menteri Luar Indonesia, Encik Arrmanatha Christiawan Nasir, dengan kedua-dua pemimpin menegaskan semula hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia.
Semasa pertemuan tersebut, Dr Balakrishnan dan Encik Arrmanatha turut menekankan komitmen bersama kedua-dua negara untuk menangani cabaran yang dihadapi bersama, seperti jerebu rentas sempadan.
Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama bagi memperkukuh perkongsian maklumat dan kerjasama dalam menangani isu ini, termasuk melalui talian langsung antara kedua-dua kementerian bagi memastikan saluran komunikasi kekal terbuka.
“
“Bekerjasama dengan negara lain dan melindungi kepentingan nasional negara sendiri bukan sesuatu yang saling eksklusif. Kita tidak perlu memilih antara satu dan mengorbankan yang lain kerana itu adalah satu dikotomi yang palsu.”