Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Indonesia bentuk pasukan petugas bersama siasat syarikat punca kebakaran hutan, jerebu
S’pura, Indonesia bentuk pasukan petugas bersama siasat syarikat punca kebakaran hutan, jerebu
Kerjasama permudah kongsi maklumat, perisikan kewangan, kumpul bukti rentasi sempadan
S’pura, Indonesia bentuk pasukan petugas bersama siasat syarikat punca kebakaran hutan, jerebu
Singapura dan Indonesia bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas bersama bagi menyiasat syarikat yang bertanggungjawab atas kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan di seluruh rantau ini.
Pasukan petugas yang diusul itu akan memudahkan perkongsian maklumat, perisikan kewangan, dan pengumpulan bukti merentasi sempadan.
Ia termasuk kemungkinan mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran tersebut.
Langkah itu diumumkan oleh Menteri Luar Indonesia, Encik Arrmanatha ‘Tata’ Nasir, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam satu sidang media bersama yang diadakan di Jakarta pada 27 Oktober.
Semasa sidang media itu, Dr Balakrishnan menyatakan bahawa Singapura telah bersetuju dengan cadangan Encik Arrmanatha untuk menubuhkan pasukan petugas tersebut, dan akan bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menangani isu berkenaan.
“Saya telah berbincang dengan Tata mengenai bagaimana kita akan mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu, termasuk syarikat yang berdaftar di Singapura,” kata Dr Balakrishnan.
“Kami akan menggunakan setiap kuasa perundangan dan kawal selia yang ada, malah kami bersedia untuk melaksanakan langkah perundangan, kawal selia dan ekonomi yang lebih meluas bagi mencegah pelanggaran serupa oleh syarikat-syarikat pada masa hadapan.
“Pada dasarnya, kami memberi amaran kepada semua syarikat bahawa pasukan petugas bersama ini akan memastikan penyelarasan tindakan yang sangat rapi serta perkongsian maklumat antara Indonesia dengan Singapura.”
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu merupakan yang pertama dalam kapasiti mereka sebagai rakan sejawat, susulan pelantikan Encik Arrmanatha sebagai Menteri Luar Indonesia pada 1 Oktober.
Semasa pertemuan itu, Encik Arrmanatha menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin telah membincangkan pelbagai isu, merangkumi hal ehwal pelbagai hala, serantau, serta kerjasama dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.
Encik Arrmanatha turut menyatakan bahawa Indonesia menyokong penuh Singapura sebagai pengerusi Asean pada 2027.
Mengenai usaha menangani isu jerebu rentas sempadan, Encik Arrmanatha menegaskan komitmen Indonesia untuk bekerjasama dengan Singapura dan pihak lain bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Asap boleh merentasi sempadan, begitu juga dengan wang. Oleh itu, kita mesti menjejaki aliran wang yang ditinggalkan oleh syarikat-syarikat ini.
“Singapura menawarkan untuk berkongsi data mengenai syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran tersebut; satu tawaran yang kami alu-alukan sebagai peluang yang sangat berharga,” kata Encik Arrmanatha.
Dalam ucapannya, Encik Arrmanatha menekankan bahawa rakyat Indonesia adalah pihak pertama yang terjejas akibat kebakaran tersebut, khususnya masyarakat yang berada di Sumatera dan Kalimantan.
Oleh itu, beliau menegaskan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah meletakkan usaha menangani kebakaran itu sebagai keutamaan nasional tertinggi.
Beliau turut mengarahkan usaha nasional agar dipertingkat, diselaraskan dengan lebih baik dan dikekalkan, di samping menggerakkan semua sumber nasional untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Menurut Encik Arrmanatha, Indonesia telah melaksanakan operasi pengeboman air, penggunaan ais kering dan modifikasi cuaca, serta akan terus memanfaatkan segala teknologi tersedia untuk menangani kebakaran itu.
Indonesia juga telah mengerahkan kira-kira 71,000 anggota di lapangan dan menggerakkan sekitar 51 aset udara di wilayah utama, dengan lebih banyak lagi aset siap untuk dikerah, tambahnya.
Semasa ucapannya, Encik Arrmanatha menekankan bahawa sempadan negara tidak seharusnya menjadi pelindung bagi pihak-pihak yang mengaut keuntungan daripada pembakaran hutan di Indonesia.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ini merupakan langkah awal untuk menangani cabaran bersama yang lain, seperti amalan pengisytiharan nilai invois yang lebih rendah daripada nilai sebenar.
“Amalan sebegini menjejaskan hasil negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, serta menyokong keselamatan makanan rakyat kita.
“Kerjasama dalam menangani jerebu pada hari ini boleh berkembang menjadi satu perkongsian demi integriti kewangan pada masa hadapan,” ujar Encik Arrmanatha.
Mengulas tentang hubungan Singapura dan Indonesia, Dr Balakrishnan berkata hubungan kededua negara dibangun atas dasar percaya, saling menghormati dan kerjasama demi manfaat bersama.
Beliau turut menekankan bahawa Singapura sangat yakin terhadap masa depan Indonesia dan ingin Indonesia maju kerana masa depan kedua-dua berkait rapat.
“Tentu saja sebagai tetangga, kadang-kadang kita ada berbeza pendapat.
“Namun, yang paling penting adalah bagaimana kita fahami perbezaan dan atasi tantangan bersama.
“Seperti peribahasa Indonesia, berat sama dipikul ringan sama dijinjing,” kata Dr Balakrishnan.