Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SFA: 3 produk turun berat badan didapati ada bahan terlarang

Oct 8, 2024 | 6:22 PM
Produk ‘Lemo A Detox Slimming Sachets’ didapati mengandungi bahan terlarang iaitu ‘sibutramine’. Bahan tersebut telah dilarang di Singapura sejak 2010 kerana terdapat risiko tinggi menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar apabila memakannya.
Produk ‘Lemo A Detox Slimming Sachets’ didapati mengandungi bahan terlarang iaitu ‘sibutramine’. Bahan tersebut telah dilarang di Singapura sejak 2010 kerana terdapat risiko tinggi menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar apabila memakannya. - Foto SFA

Agensi Makanan Singapura (SFA) memberi amaran kepada orang ramai pada 8 Oktober supaya tidak mengambil tiga produk makanan yang dipasarkan untuk penurunan berat badan.

Ini setelah produk tersebut didapati mengandungi bahan terlarang. Ketiga-tiga produk adalah dari Malaysia.

Produk tersebut ialah Lemo A Detox Slimming Sachets dan Lemo S Detox Slimming Sachets – yang kededuanya mengandungi sibutramine – dan Lemo D Detox Slimming Sachets, yang mengandungi ‘sennoside’ iaitu sejenis julap.

Sibutramine, sejenis ubat menurunkan berat badan yang hanya boleh diperoleh melalui preskripsi, telah dilarang di Singapura sejak 2010 kerana terdapat risiko tinggi kepada serangan jantung dan angin ahmar apabila memakannya.

Sementara itu, pengambilan ‘sennoside’ yang berpanjangan boleh menyebabkan sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome atau IBS) dan dehidrasi.

Ketiga-tiga produk itu dijual di wadah e-dagang tempatan dan mendakwa dapat menyekat selera makan, mengurangkan toksin, membantu penghadaman, mengurangkan lemak badan, mempercepatkan metabolisme dan membantu penurunan berat badan, menurut SFA.

Tambahnya, ia bekerjasama dengan wadah e-dagang untuk mengeluarkan penyenaraian produk terbabit dan memberi amaran kepada penjual untuk berhenti menjualnya dengan serta-merta.

SFA menasihatkan orang ramai yang telah membeli produk itu supaya tidak mengambilnya.

Bagi mereka yang telah mengambil produk itu dan mempunyai kebimbangan tentang kesihatan mereka, SFA menasihatkan mereka untuk mendapatkan nasihat perubatan.

SFA turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan risiko yang berkaitan dengan pengambilan makanan yang dibeli dalam talian melalui wadah e-dagang.

Ia menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli atau mengambil apa-apa makanan jika mereka mempunyai keraguan tentang sumber dan keselamatannya.

SFA berkata ia “tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjual dan membekalkan produk makanan tidak selamat yang telah dicemari dengan bahan terlarang dan/atau bahan perubatan yang tidak dibenarkan dalam makanan”.

Ia merupakan satu kesalahan untuk menjual makanan tidak selamat di Singapura.

Pesalah boleh didenda sehingga $5,000, manakala pesalah berulang boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga tiga bulan, atau kededuanya sekali.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang penjualan dan pembekalan produk makanan yang tidak selamat boleh memberi maklum balas kepada SFA menerusi laman www.sfa.gov.sg/feedback

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg