Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SFA: Produk tenusu Amerika masih selamat dimakan

Tiada bukti selesema burung boleh jangkiti manusia menerusi makanan yang dimasak sepenuhnya
May 19, 2024 | 6:14 PM
selesema burung
Jabatan Pertanian (USDA) berkata terdapat kes yang telah disahkan melibatkan selesema burung dalam lembu di sembilan negeri Amerika. - Foto AFP

Produk tenusu dari Amerika Syarikat selamat untuk dimakan, walaupun selesema burung H5N1 yang sangat mudah berjangkit, merebak dalam kalangan lembu tenusu di negara itu sejak akhir Mac. 

Agensi Makanan Singapura (SFA), yang memantau keselamatan makanan dan bekalan makanan di Singapura, memberitahu akhbar The Straits Times tiada bukti sehingga kini selesema burung boleh menjangkiti manusia menerusi makanan yang dimasak sepenuhnya. 

Jurucakap SFA menyatakan produk makanan yang diimport ke negara ini mesti memenuhi piawaian keselamatan makanan dan syarat import. 

“Semua susu import perlu menjalani proses rawatan haba, seperti pempasteuran (pengawetan makanan dalam bentuk cecair), yang terbukti berkesan untuk membunuh bakteria dan virus, termasuk virus influenza,” kata jurucakap SFA. 

Jurucakap itu mengesahkan bahawa pada Mac, Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan di Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), mengesahkan pengesanan selesema burung – juga dikenali sebagai influenza avian yang sangat patogenik – dalam sekumpulan lembu tenusu di New Mexico, Texas, Kansas dan Michigan. 

Dalam satu temu bual dengan penyiar televisyen Amerika, PBS pada 16 Mei, pakar biologi, Dr Michael Worobey, dari Universiti Arizona berkata beliau percaya lonjakan virus dari burung ke lembu berlaku antara pertengahan November 2023 dengan pertengahan Januari 2024. 

Hujah beliau itu disokong oleh kertas penyelidikan baru, yang dibiayai oleh USDA, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit dan Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan. 

USDA percaya burung liar yang boleh membawa virus, telah menyebarkan virus itu kepada lembu di Texas. Wabak itu kemudian menular apabila lembu-lembu itu dihantar ke negeri lain.   

USDA menambah, terdapat kes yang disahkan bahawa selesema burung dalam lembu tenusu di sembilan negeri di Amerika, dengan satu perkembangan terkini iaitu seorang pekerja ladang tenusu Texas telah dijangkiti selesema burung dari lembu. 

Saintis Amerika mengesahkan bahawa kes itu adalah kali pertama manusia dijangkiti virus bukan dari burung, tetapi lembu, dan dapatan itu telah diterbitkan dalam, Jurnal Perubatan New England, pada awal Mei. 

Pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan makanan Amerika berkata kes itu tidak mengubah risiko yang kekal rendah dalam kalangan orang awam.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), yang telah menilai susu daripada haiwan yang terjejas, pada 23 April berkata ia telah menemui virus selesema burung dalam beberapa contoh susu dipasteur, tetapi bekalan susu komersial masih selamat. 

Pengarah Program Teknologi Sains Makanan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor William Chen, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa proses pempasteuran yang kini dikenakan ke atas produk tenusu sedunia berkesan dalam membunuh patogen termasuk virus selesema burung. 

“Pemanasan dalam proses pempasteuran mengubah bentuk atau struktur luaran H5N1 dan ini menjejas keupayaan H5N1 berjangkit, walaupun bahan genetik virus itu masih boleh dikesan,” kata beliau. 

“Adalah penting untuk mengetahui bahawa pengesanan virus bahan genetik dalam produk tenusu tidak bermakna virus ini masih boleh berjangkit,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai masih perlu berhati-hati untuk mengambil produk tenusu yang dipasteur. 

Menurut pentadbiran perdagangan antarabangsa Amerika Syarikat, Amerika merupakan pengeksport ketiga terbesar produk tenusu ke Singapura pada 2022, selepas New Zealand dan Australia.

Terdapat peningkatan 12 peratus dalam import produk tenusu Amerika, daripada AS$105 juta ($141.3 juta) pada 2021 kepada AS$118 juta pada 2022.

“Semua susu import perlu menjalani proses rawatan haba, seperti pempasteuran (pengawetan makanan dalam bentuk cecair), yang terbukti berkesan untuk membunuh bakteria dan virus, termasuk virus influenza.”
Jurucakap Agensi Makanan Singapura (SFA).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg