Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang menyiasat kemungkinan berlaku isu kebersihan makanan di medan selera Institut Teknologi Singapura (SIT), selepas seekor tikus dirakam bertenggek di atas sebuah tablet di kaunter bayaran sebuah gerai di situ.
Video yang tular itu dikongsi di wadah Reddit pada 26 September.
Sebagai menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST) pada 30 September, pengendali medan selera berkenaan, Foodgle, berkata kejadian itu berlaku di gerai nasi campur miliknya, di luar waktu operasi pada 25 September.
Pengendali itu telah dimaklumkan pada malam kejadian dan menjalankan kerja menyahjangkit di gerai tersebut pada 6.30 pagi keesokan hari, sebelum operasi disambung semula.
Syarikat itu menyatakan ia telah meningkatkan kekerapan menjalankan rutin kawalan serangga atau haiwan perosak, meletakkan lebih banyak perangkap serta mempertingkat pemeriksaan dalaman daripada dua kali sebulan kepada sekali seminggu.
Tiada kes keracunan makanan dilaporkan.
Menurut Foodgle, medan selera itu dikelilingi tumbuhan hijau dan hidupan liar.
Ia menampung sekurang-kurangnya 13 gerai dan terletak dalam kampus SIT di Punggol.
Dengan keadaan persekitaran yang “mencabar” itu, ia turut mendorong pihak pengendali melaksanakan langkah pencegahan kawalan perosak yang ketat, termasuk pemeriksaan harian selepas operasi.
Pemeriksaan yang dijalankan oleh SFA dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 26 September mendapati semua gerai termasuk gerai nasi campur berkenaan berada dalam keadaan baik, tambah Foodgle.
Dalam kenyataannya pada 29 September, SFA berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.
Agensi itu menegaskan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama antara pengawal selia dengan pengendali makanan, serta menggalakkan orang ramai supaya melaporkan sebarang kebimbangan melalui borang maklum balas dalam talian.
SFA turut menambah, ia memandang serius kejadian seperti itu, menyiasat semua laporan mengenai amalan kebersihan yang lemah, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan jika perlu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg