Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sijil halal terkini Muis papar kod QR bagi pengesahan mulai 1 Okt

Tempoh sijil halal boleh dilanjut sehingga lima tahun pada masa hadapan
Sep 24, 2025 | 7:16 PM
halal, Muis, pensijilan
Kedai makanan halal secara bertahap akan mula menampilkan sijil halal terkini yang mengandungi kod QR (gambar sisipan), bermula 1 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kedai makanan halal secara bertahap akan mula menampilkan sijil halal terkini yang mengandungi kod QR, bermula 1 Oktober.

Pengguna boleh mengimbas kod tersebut dan akan diberikan akses serta-merta kepada butiran pensijilan, antaranya mengesahkan sama ada sijil halal itu tulen dan ia masih sah.

Ini bermakna, sekiranya terdapat penyalahgunaan sijil halal, pengguna boleh langsung memberitahu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melalui kod tersebut agar mereka dapat mengambil tindakan.

Pengarah, Pembangunan Halal, Muis, Encik Muhammad Faizal Othman, berkata dengan penerapan kod QR itu, pengguna kini mampu mengesan penyalahgunaan pada sijil dalam beberapa perkara seperti tamat tempoh serta kelainan pada nama kedai.

“Dari segi penyalahgunaan, pertama ialah kemungkinan tempoh sijil itu telah tamat. Maka, sekiranya ia telah tamat, pengguna boleh memberitahu kami dan kami akan turun padang untuk mengambil tindakan.

“Kedua, ialah sekiranya nama pada sijil halal itu tidak sama dengan kedai restoran tersebut. Sekiranya ia tidak sama, pengguna juga boleh memberikan maklum balas,” ujarnya.

Sijil halal terkini yang mengandungi kod QR, yang akan memberikan pengguna akses serta-merta kepada butiran pensijilan, antaranya mengesahkan sama ada sijil halal itu tulen dan ia masih sah.
Sijil halal terkini yang mengandungi kod QR, yang akan memberikan pengguna akses serta-merta kepada butiran pensijilan, antaranya mengesahkan sama ada sijil halal itu tulen dan ia masih sah. - Foto MUIS

Sijil halal digital boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Risiko Halal Menyeluruh (Charm), yang akan bermula pada 1 Januari 2026.

“Kami akan memperkenalkan sijil digital dan juga satu rangka kerja di mana kita dapat menganalisis risiko halal secara menyeluruh dalam Charm.

“Daripada sistem Charm itu, kami dapat mengenal pasti setiap syarikat ataupun peniaga yang mungkin mempunyai risiko halal yang tinggi ataupun yang rendah, di mana kita akan menyesuaikan tempoh sijil halal Muis daripada satu hingga lima tahun,” tambah Encik Faizal.

Tanpa Charm, tempoh sijil halal, lazimnya, selama satu hingga dua tahun, dan kini ia boleh dilanjutkan kepada tiga hingga lima tahun.

Pembaharuan itu diumumkan di Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapore pada 24 September.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir sebagai tetamu terhormat pada acara yang dihadiri lebih 200 orang, terdiri daripada delegasi halal luar negara.

Beliau ditemani Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Naib Presiden Eksekutif, Hal Ehwal Peraturan & Penyelidikan, Pusat Halal Arab Saudi, Penguasa Makanan dan Perubatan Saudi, Encik Mohammad Farhan Turki AlDhafiry; dan Pegawai Bertugas, Kedutaan Diraja Kerajaan Arab Saudi, Encik Salem Mokhlef Al Shammary.

Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapura pada 24 September dihadiri lebih daripada 200 hadirin – terdiri daripada delegasi halal luar negara. Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), turut hadir sebagai tetamu terhormat.
Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapura pada 24 September dihadiri lebih daripada 200 hadirin – terdiri daripada delegasi halal luar negara. Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), turut hadir sebagai tetamu terhormat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Antara ciri kod QR itu ialah ia akan memaparkan sijil dan pengesahan status secara masa nyata, pengesahan digital, perkongsian sijil – menjadikan lebih mudah bagi perniagaan – serta fungsi pengurusan senarai produk.

Kedai makan akan terus mempamerkan sijil fizikal, manakala pemegang sijil bagi skim lain akan menerima sijil digital sepenuhnya.

Menurut laman web Muis, terdapat tujuh skim pensijilan halal yang berbeza, antaranya Ruang Penyediaan Makanan (FPA) dan Rumah Sembelih.

Sijil Halal Digital bagi kedai makan akan berwarna hijau.

Salinan fotokopi atau versi sijil dalam warna lain tidak dibenarkan untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Muis turut menyasarkan agar tempoh pemprosesan permohonan sijil halal menjadi lebih berkesan dengan pelaksanaan sijil digital.

Namun, ia juga bergantung pada beberapa faktor termasuk kerumitan dan sifat perniagaan.

Dengan adanya sijil digital, pemohon baru atau yang ingin melakukan pembaharuan pada sijil mereka akan mengambil masa purata enam minggu atau selama 30 hari waktu bekerja.

Manakala pindaan kepada sijil pula akan mengambil masa purata dua minggu atau 10 hari waktu bekerja.

Muis berkata sijil yang dipertingkatkan itu melambangkan satu langkah penting ke arah ketelusan, keutuhan dan ketercapaian dalam sistem pensijilan halal Singapura, di samping menyokong matlamat transformasi negara.

“Ia juga merupakan sebahagian usaha pendigitalan Muis yang lebih luas untuk memperkemas proses pentadbiran, meningkatkan kecekapan operasi, serta memperkukuh kedudukan industri halal Singapura bagi pertumbuhan berterusan dalam ekonomi digital,” kata kenyataan itu.

Kesemua kedai makan akan memiliki sijil terbaru menjelang suku kedua 2026, kata Muis.

Jika terdapat kegiatan penipuan yang disyaki atau sijil digital yang tidak berfungsi, pengguna boleh melaporkannya dengan segera melalui e-mel info@muis.gov.sg.

Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapura pada 24 September dihadiri lebih daripada 200 hadirin – terdiri daripada delegasi halal luar negara.
Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapura pada 24 September dihadiri lebih daripada 200 hadirin – terdiri daripada delegasi halal luar negara. - Berita Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam pada itu, Muis turut mengumumkan portal dalam talian baru untuk memudahkan badan pensijilan halal asing diiktiraf di Singapura di seminar tersebut.

Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) ialah rangka kerja pengiktirafan rasmi yang dibangunkan oleh Muis pada 2011 untuk memastikan badan pensijilan halal yang mengeksport produk halal ke Singapura memenuhi piawaian Muis.

Sehingga kini, badan-badan asing itu perlu menghantar dokumen mereka melalui e-mel kepada Muis untuk disemak sama ada piawaian pensijilan halal mereka selaras dengan piawaian Singapura.

Proses tersebut mengambil masa beberapa bulan.

Portal dalam talian yang akan beroperasi mulai 1 Oktober itu akan mempercepatkan tempoh permohonan dan boleh diakses di https://fhcb.muis.gov.sg

Setakat ini, 101 badan pensijilan halal asing telah diiktiraf oleh Muis.

Senarai itu akan tersedia di portal untuk perniagaan di Singapura yang ingin mengimport makanan halal dari negara lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg