Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG bagi Kemanusiaan hulur lebih $700,000 bantu warga Palestin di Gaza
RLAF turut kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sediakan keperluan asas harungi musim sejuk, banjir hingga 2027
SG bagi Kemanusiaan hulur lebih $700,000 bantu warga Palestin di Gaza
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah memeterai satu perjanjian dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 10 November bagi menyediakan makanan panas, bekalan perubatan dan barangan keperluan musim sejuk bagi warga Palestin di Gaza.
Ini di samping menghulurkan bantuan lain seperti menyediakan tempat perlindungan bagi keluarga yang terjejas akibat hujan lebat.
RLAF turut menyampaikan cek bernilai lebih setengah juta dolar kepada ERC, manakala Palang Merah Singapura (SRC) menyumbang sebanyak $200,000 lagi bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di bawah inisiatif rangkaian SG bagi Kemanusiaan yang dilancarkan pada 5 November.
Demikian dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang kini berada di Kahirah, Mesir, bagi mengukuhkan hubungan lama Singapura dengan Mesir, serta memperdalam kerjasama dalam bidang keagamaan dan kemanusiaan.
Beliau diiringi anggota rangkaian SG bagi Kemanusiaan yang terdiri daripada empat badan kemanusiaan utama – Humanity Matters (HM), RLAF, SRC dan Mercy Relief (MR).
“Kini, musim sejuk pun semakin hampir. Hujan lebat menyebabkan air melimpah masuk ke dalam banyak khemah di Gaza, memburukkan lagi keadaan keluarga yang sudah serba kekurangan.
“Saya tersentuh melihat pelajar-pelajar Singapura di Kahirah turut berganding bahu menyiapkan bantuan musim sejuk dan keperluan bantuan yang lain untuk keluarga di Gaza.
“Walaupun jauh dari tanah air, hati mereka tetap dekat dengan saudara kita yang sedang menderita,” kata Encik Zaqy dalam satu video yang dikongsi bersama Berita Harian (BH).
Menurut Encik Zaqy, usaha kerjasama antara RLAF dengan ERC itu juga akan diteruskan hingga 2027, termasuk pada bulan Ramadan, yang dijangka jatuh pada Februari 2027.
Beliau menambah Singapura juga sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kemanusiaannya di bawah inisiatif SG bagi Kemanusiaan untuk meneliti langkah selanjutnya bagi membantu keluarga yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir baru-baru ini.
Menurut pihak berkuasa Gaza yang ditadbir Hamas, sekurang-kurangnya lima orang maut akibat banjir, manakala ribuan keluarga kehilangan barangan keperluan asas selepas khemah mereka ditenggelami air.
“Inilah semangat SG bagi Kemanusiaan. Kita mungkin tidak mampu menghilangkan segala penderitaan mereka. Tetapi, kita boleh berusaha meringankan beban mereka,” katanya.
“Singapura negara kecil, tetapi besar jiwa rakyatnya. Semoga setiap bantuan yang kita hulurkan membawa sedikit kelegaan, menghidupkan kembali harapan, dan mengingatkan keluarga di Gaza bahawa mereka tidak dilupakan insya-Allah,” tambahnya.
Lawatan Encik Zaqy itu memanfaatkan momentum pelancaran inisiatif SG bagi Kemanusiaan pada 5 November dan merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingga 14 November.
Semasa berada di Kahirah, beliau juga akan bertemu para ulama serta rakan kerjasama dalam pendidikan tinggi Islam, termasuk rakan kerja dan anggota Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Sebelum itu, beliau telah menandatangani perjanjian haji bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, bagi mengesahkan kuota 900 tempat untuk jemaah Singapura bagi 2027.