Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG Untuk Kemanusiaan dilancar demi perkukuh bantuan kemanusiaan ke Gaza
SG Untuk Kemanusiaan dilancar demi perkukuh bantuan kemanusiaan ke Gaza
Singapura akan melancarkan SG Untuk Kemanusiaan (SG for Humanity), satu rangkaian yang menggabung pihak pemerintah, badan kemanusiaan mapan serta masyarakat luas demi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan buat mereka yang terjejas akibat krisis di Gaza.
Mengumumkan demikian dalam satu kenyataan pada 5 November, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyatakan inisiatif itu bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama kemanusiaan dan meningkatkan agihan bantuan peringkat terakhir kepada golongan paling memerlukan.
Ia juga bertujuan memperluas peluang buat rakyat daripada seluruh masyarakat Singapura untuk menyumbang kepada usaha tersebut.
Sebagai permulaan, MCCY akan mengendalikan rangkaian itu dengan menggabungkan usaha empat badan kemanusiaan utama – Humanity Matters (HM), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Palang Merah Singapura (SRC) dan Mercy Relief (MR).
Pelancaran rangkaian ini diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng.
Mereka menghadiri sesi perkongsian dan penglibatan bersama empat badan kemanusiaan yang terlibat dalam SG Untuk Kemanusiaan di pejabat Humanity Matters di Geylang.
Matlamat inisiatif tersebut bukan sekadar menggerakkan dana dan sumber, malah memperkukuh agihan peringkat akhir bantuan kemanusiaan serta meluaskan peluang bagi rakyat Singapura untuk menyumbang melalui kepakaran, pengumpulan dana atau kegiatan sukarela, kata Encik Zaqy.
Beliau memberitahu media bahawa terdapat lebih banyak ruang untuk membantu penduduk Gaza yang terjejas oleh krisis, berdasarkan pengalaman beliau setelah terlibat dalam empat misi bantuan kemanusiaan oleh Singapura untuk Gaza.
Setiap badan bukan pemerintah (NGO) yang terlibat mempunyai pengalaman, kepakaran serta rangkaian kerjasama bersama rakan kongsi antarabangsa yang telah diperkasa selama bertahun-tahun, jelas Encik Zaqy.
“Melalui SG Untuk Kemanusiaan, kami dapat menggembleng kekuatan dalam tiga bidang ini,” katanya.
Inisiatif tersebut juga dapat membantu dalam memastikan bantuan disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, tegas Encik Zaqy.
“Lebih daripada mengumpul dana atau bekalan asas, kami mahu bekerjasama rapat dengan rakan sekerja di luar negara untuk memastikan keluarga dan kanak-kanak yang amat memerlukan menerima bantuan,” katanya.
Misalnya, MCCY dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) akan bekerjasama untuk memudahkan inisiatif dan kerjasama demi menyampaikan bantuan kemanusiaan tersebut.
SG Untuk Kemanusiaan juga bakal memacu kerjasama yang lebih erat, mengenal pasti peluang untuk menjalankan inisiatif bersama, mengukuhkan jalinan dengan badan kemanusiaan di luar negara.
Satu lagi tujuan inisiatif ini adalah untuk membuka lebih ruang untuk warga Singapura menyumbang lebih daripada sekadar sumbangan dana, malah menerusi kegiatan sukarelawan.
Ini termasuk menyumbang masa, kepakaran dan tenaga masing-masing, jelas Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata ramai rakyat Singapura di luar negara telah melahirkan keinginan untuk menyumbang tenaga kepada mereka yang terjejas oleh krisis di Gaza. Ini termasuk mereka yang belajar dan bekerja di Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
“Ada juga doktor dan golongan profesional yang bertanya adakah mereka boleh turun padang untuk menyumbang kepakaran mereka. Jadi semangat untuk membantu sudah ada, kita perlu membuka lebih banyak peluang untuk menterjemahkan lagi hasrat ini kepada tindakan,” katanya.
Ini juga penting kerana terdapat ramai rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di rantau itu, dan rangkaian tersebut turut berupaya membantu menyalurkan bantuan ke lokasi-lokasi berkenaan.
Encik Zaqy menampilkan kerja keras empat NGO yang terlibat dalam SG Untuk Kemanusiaan, namun akur bahawa akses untuk rakyat Singapura umum bagi menyumbang kepada usaha sebegitu di lapangan masih boleh dipertingkatkan.
Beliau berkata terdapat lebih keselesaan dan keyakinan untuk rakyat Singapura menyumbang menerusi platform yang disokong oleh pihak pemerintah.
Pemerintah juga akan memudahkan penglibatan bersama pihak berkuasa dan rakan kongsi kemanusiaan di luar negara.
Dalam pada itu, Encik Zaqy akan mengadakan lawatan kerja ke Mesir dalam beberapa minggu akan datang.
Mesir memainkan peranan penting dalam penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Encik Zaqy bakal bertemu dengan pihak berkuasa Mesir serta rakan kemanusiaan bagi membincangkan bagaimana Singapura dapat mempertingkatkan bantuan kemanusiaannya buat mereka yang terjejas oleh krisis kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, NGO di bawah SG Untuk Kemanusiaan akan terus menjalankan program bantuan kemanusiaan masing-masing.
Menurut empat NGO yang terlibat, pelancaran SG Untuk Kemanusiaan bukan sahaja memudahkan kerjasama antara satu sama lain, malah memperkukuhkan lagi kesan bantuan kemanusiaan secara umumnya.
“Kami amat mengalu-alukan rangkaian kerjasama ini. Kami mempunyai kepakaran masing-masing dan dengan adanya kerjasama ini, kami kita dapat saling menyokong kepakaran masing-masing... Ia memastikan usaha yang lebih terselaras dan bersepadu.”
Dengan menggembleng usaha serta rangkaian masing-masing, mereka berupaya meluaskan jangkauan bantuan kepada penduduk di Gaza dan mereka yang terpaksa berpindah, seperti ke Mesir, tambahnya.
Sejak Oktober 2023, pemerintah, badan kemanusiaan dan masyarakat telah menyumbang bantuan kemanusiaan berjumlah lebih $25 juta kepada mereka yang terjejas oleh krisis kemanusiaan di Gaza.
Ini termasuk menampung keperluan asas seperti makanan, penjagaan kesihatan, air bersih, tempat perlindungan dan pendidikan.
HR, MR, RLAF dan SRC telah memberi banyak sokongan dalam usaha tersebut menerusi pengumpulan dana dan penyediaan bekalan bantuan, kata MCCY.
Ini di samping kerja di peringkat akar umbi bersama rakan serantau dan antarabangsa, seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), bagi menyalurkan bantuan kepada orang awam yang terjejas.
Pada 2025, pemerintah Singapura menyediakan dana permulaan sebanyak $1 juta yang telah diagihkan secara sama rata kepada empat badan kemanusiaan tersebut bagi menyokong usaha pengumpulan dana awam dan bantuan kemanusiaan di Gaza.