Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG Lebih Sihat utama penduduk berpenyakit kronik, 60 tahun ke atas

Jul 3, 2023 | 5:36 PM
UTAMAKAN PESAKIT KRONIK: Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung berkata pendaftaran bagi SG Lebih Sihat akan mengutamakan penduduk yang mempunyai keadaan kronik atau mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
UTAMAKAN PESAKIT KRONIK: Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung berkata pendaftaran bagi SG Lebih Sihat akan mengutamakan penduduk yang mempunyai keadaan kronik atau mereka yang berumur 60 tahun ke atas. - Foto MCI

Lebih 47,000 penduduk berusia 40 tahun ke atas yang mempunyai keadaan kronik telah mendaftar awal bagi SG Lebih Sihat pada Mei dan pendaftaran bagi penduduk lain akan dilakukan secara berperingkat, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

“Kami perlu melakukan ini secara berperingkat untuk menguruskan beban kerja klinik doktor perubatan umum (GP) dan poliklinik kami, dan memastikan penduduk mendapat pengalaman yang positif.

“Kami akan mengutamakan mereka yang mempunyai penyakit kronik, diikuti oleh mereka yang berusia 60 tahun ke atas,” jelas oleh Encik Ong semasa menjawab soalan Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio) di Parlimen pada Isnin.

Beliau berkongsi demikian ketika ditanya sama ada pemerintah akan meluaskan pendaftaran kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang tidak mempunyai sebarang keadaan kronik.

Menurut Encik Ong, pemerintah akan mengutamakan mereka yang mempunyai penyakit kronik, diikuti dengan mereka yang berusia 60 tahun ke atas apabila SG Lebih Sihat dilancarkan pada 5 Julai.

Bagi mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun, pemerintah menyasarkan untuk mendaftar mereka pada 2024, kata beliau lagi.

Selain itu, Encik Ong menambah bahawa MOH akan memperluas perlindungan bagi kesihatan mental pada masa terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) yang bertanya sama ada MOH akan menimbangkan untuk menyediakan geran bagi rakyat yang memerlukan kaunseling masyarakat, khususnya dalam menangani isu seperti tekanan penjaga.

Tambahan pula, Encik Ong berkata SG Lebih Sihat bukanlah satu-satunya jalan untuk menjaga penduduk yang mengalami masalah kesihatan mental

“Di bawah Pelan Induk Kesihatan Mental Masyarakat, kami bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk menubuhkan pasukan jangkauan dan intervensi masyarakat untuk menyokong orang yang mempunyai keperluan kesihatan mental dan penjaga mereka.

“Ini termasuk mendidik penjaga tentang pengurusan tekanan dan penjagaan diri, menghubungkan mereka dengan khidmat kaunseling dan kumpulan sokongan apabila diperlukan.

“MOH menyediakan pembiayaan penuh kepada mereka dan penduduk boleh mengakses perkhidmatan dan sokongan mereka tanpa sebarang kos,” ujar beliau.

Selain itu, Encik Ong berkata penduduk boleh menjangka untuk menerima laporan kesihatan tahunan setelah SG Lebih Sihat dijalankan.

“Dengan SG Lebih Sihat, penduduk yang mendaftar akan mendapat akses kepada pelan kesihatan sendiri menerusi aplikasi HealthHub atau laman web,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg