Warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) bakal mendapat tambah nilai kredit ActiveSG sekali sahaja sebanyak $100 sempena Singapura meraikan tahun SG60 apabila mereka log masuk ke MyActiveSG+ antara 2 Jun dan 31 Disember.
Bercakap di Parlimen pada 10 Mac, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata pemberian nilai kredit pada 2014 dan 2023 telah diterima secara positif, dengan kira-kira dua daripada tiga anggota ActiveSG menggunakan kredit dalam tempoh setahun selepas pengumuman.
“Kami berharap ini akan menggalakkan lagi penyertaan sukan merentasi lebih banyak segmen masyarakat.
“Dengan tambah nilai SG60 ini, kami berharap dapat terus meningkatkan penyertaan sukan besar-besaran, supaya semua rakyat Singapura boleh hidup lebih baik melalui sukan,” kata Encik Tong.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Mac, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkata ahli ActiveSG sedia ada akan menerima tambah nilai kredit ActiveSG SG60 $100 apabila mereka log masuk ke MyActiveSG+ antara 2 Jun dan 31 Disember.
Ahli ActiveSG baru yang mendaftar dan log masuk ke MyActiveSG+ menggunakan Singpass mereka antara 2 Jun dan 31 Disember akan menerima nilai kredit sebanyak $200.
Ini termasuk kredit $100 daripada skim insentif ahli baru sedia ada yang dilaksanakan pada 2014 dan tambah nilai kredit ActiveSG SG60 sebanyak $100.
MCCY berkata sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, semua kredit ActiveSG juga akan dilanjutkan secara automatik sekali sahaja kepada 31 Disember 2026.
Semua kredit yang tidak digunakan boleh dipindahkan ke tahun berikutnya, iaitu 2027, jika ahli membuat sekurang-kurangnya satu transaksi pada 2026.
Sambil membentangkan rancangan kementeriannya, Encik Tong berkongsi bahawa warga Singapura berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima kredit Pas Budaya SG bernilai $100 untuk menggalak rakyat Singapura menunjukkan sokongan kepada artis dan pengamal budaya tempatan.
Pas Budaya SG dapat digunakan untuk membiayai kos tiket dan menjadikannya lebih mudah bagi rakyat Singapura menikmati tawaran kebudayaan tempatan pada platform sehenti di laman web Pas Budaya SG.
“Pas Budaya SG adalah sebahagian daripada Rancangan Seni 2.0 kita, bertujuan memupuk hubungan dan penghargaan yang lebih mendalam antara penonton Singapura dan seni.
“Kami berharap semua usaha ini dapat menggalakkan rakyat Singapura bersama-sama melibatkan diri dalam pengalaman berkongsi budaya tempatan kita,” kata Encik Tong.
Kredit Pas Budaya SG sah digunakan sepanjang tiga tahun, dari 1 September hingga 31 Disember 2028, melalui penyedia tiket yang dibenarkan.
Kredit tersebut boleh digunakan untuk membiayai kos tiket bagi menghadiri dan menyertai pelbagai program seni dan warisan tempatan
Encik Tong juga berkata MCCY juga akan melancarkan Project Citizens – The First Million, sebuah inisiatif oleh Taman Tugu Pengasas sempena SG60.
Inisiatif ini bertujuan menggalak rakyat Singapura merenung nilai-nilai yang dikongsi bersama dalam membina Singapura, dan bagaimana nilai-nilai pengasas kekal relevan hari ini.
Kisah-kisah yang dikumpul akan dipaparkan di Taman Tugu Pengasas apabila ia dibuka pada 2028, bersama ciri-ciri pemimpin pengasas Singapura, dan membolehkan rakyat Singapura membentuk kandungan dan pendekatan bercerita buat tugu tersebut.
Projek itu akan dilancarkan secara progresif kepada orang ramai, dengan penglibatan warga emas dan pameran awam yang akan diadakan mulai April, dan pameran di Galeri Nasional Singapura dari Oktober hingga Mac 2026
Sebagai sebahagian daripada SG60, Singapura akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Renang Para Dunia (WPSC) 2025, acara renang paling berprestij di luar Sukan Paralimpik, dari 21-27 September di Pusat Akuatik OCBC di Hab Sukan Singapura.
WPSC 2025 akan menarik kira-kira 600 atlet dan 400 pegawai dari 60 negara, bersama-sama dengan 15,000 penonton.
Singapura juga akan menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) – Singapura 2025 (WCH2025) dari 11 Julai hingga 3 Ogos di Hab Sukan Singapura dan Sentosa.
WCH ialah acara dwitahunan perdana World Aquatics dan dijangka mengalu-alukan lebih 2,500 pesaing daripada lebih 200 persekutuan ahli kebangsaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg