Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: S’pura teroka bina Muzium Reka Bentuk baru

Kajian sedang dijalankan untuk ditempatkan di bangunan lama Saint Joseph’s Institution
Mar 10, 2025 | 5:30 PM
Lembaga Warisan Negara (NHB) kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menentukan kesesuaian bekas bangunan lama Saint Joseph’s Institution untuk membangunkan Muzium Reka Bentuk Singapura yang baru.
Lembaga Warisan Negara (NHB) kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menentukan kesesuaian bekas bangunan lama Saint Joseph’s Institution untuk membangunkan Muzium Reka Bentuk Singapura yang baru. - Foto fail

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah Muzium Reka Bentuk Singapura yang baru bagi mempamerkan reka bentuk pelbagai disiplin.

Muzium baru itu juga akan menampilkan hasil kerja pereka dan firma reka bentuk terkemuka Singapura merentasi pelbagai bidang, serta hubungan rekaan mereka dengan Asia dan dunia.

Bercakap di Parlimen pada 10 Mac semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MCCY pada 10 Mac, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata muzium itu diharap dapat mempamerkan reka bentuk terbaik Singapura dan bakat pereka Singapura kepada dunia.

“Ia akan meningkatkan pemahaman dan penghayatan orang ramai mengenai kepentingan reka bentuk baik.

“Ia juga akan berfungsi sebagai hab untuk pembelajaran berasaskan pengalaman, perkongsian akademi-industri dan makmal kreatif untuk pengamal reka bentuk dan meningkatkan pertumbuhan sektor reka bentuk Singapura,” kata Encik Tong.

Beliau menambah bahawa HB kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menentukan kesesuaian bekas bangunan lama Saint Joseph’s Institution, yang pernah menempatkan Muzium Seni Singapura, dibangunkan Muzium Reka Bentuk Singapura dan butiran lanjut akan diumumkan setelah selesai kajian itu.

Muzium Seni Singapura kini terletak di Tanjong Pagar Distripark di Keppel Road.

“Muzium Reka Bentuk Singapura boleh menjadi tambahan penting kepada landskap seni dan warisan kita yang semakin berkembang... dan meningkatkan pertumbuhan sektor reka bentuk Singapura, yang juga boleh menjadi enjin tambahan dalam ekonomi seni kita,” kata Encik Tong.

MCCY, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Mac, berkata perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pereka tempatan, menunjukkan bangunan SJI lama itu, yang kini diiktiraf Monumen Negara, mempunyai potensi baik untuk dibangunkan sebagai tapak muzium reka bentuk baru.

Secara berasingan, pemerintah akan menambah Dana Pemadanan Kebudayaan (CMF) sebanyak $100 juta untuk menggalak pemberian kepada seni dan warisan, menjadikan jumlah pelaburan dalam CMF kepada $600 juta, dan melanjutkannya hingga 2029.

Semasa ucapannya, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, berkata pemerintah telah mengeluarkan lebih $400 juta dalam bentuk geran padanan dolar untuk dolar kepada 127 badan amal unik setakat ini.

“Ini bermakna hampir lapan dalam 10 badan amal seni dan warisan telah menerima geran sedemikian. Jumlah derma yang dipadankan oleh CMF telah meningkat daripada 2,000 pada 2014 kepada lebih 16,000 pada 2024,” tambahnya.

CMF ditubuhkan oleh MCCY pada 2014, dengan jumlah $200 juta, untuk menyediakan geran padanan dolar untuk dolar bagi sumbangan tunai persendirian kepada badan amal yang berdaftar dalam sektor seni dan warisan.

Sejak itu, dana tersebut telah ditambah dua kali – $150 juta pada 2017 dan jumlah yang sama pada 2022.

Badan amal seni dan warisan serta Institusi Bertaraf Awam (IPC) layak boleh memohon CMF melalui Portal Geran OurSG. Tempoh permohonan ialah dari 1 April hingga 31 Mei setiap tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg