Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Arahan Sekatan ke atas 2 warga peringatan konflik asing boleh jejas S’pura

Jul 15, 2024 | 7:42 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam satu sidang media pada 15 Julai menjelaskan bahawa konflik di luar negara boleh menjejas Singapura secara dalaman susulan Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam satu sidang media pada 15 Julai menjelaskan bahawa konflik di luar negara boleh menjejas Singapura secara dalaman susulan Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). - Foto ST

Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah peringatan bahawa konflik di luar negara boleh menjejas Singapura secara dalaman, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Ini setelah kedua-dua individu itu – pelajar Menengah Tiga dan bekas penjawat awam – menjadi radikal sendiri melalui wadah dalam talian susulan konflik Israel-Hamas yang masih berlarutan, ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada 15 Julai di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bagi mengulas tentang RO yang dikenakan ke atas dua warga Singapura itu.

Dalam satu kenyataan media oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai, ia menyatakan seorang pelajar 14 tahun, yang namanya tidak disiarkan, dikenakan RO pada Jun setelah dia berhasrat bertempur di bawah Black Flag Army (BFA) – seperti yang diguna pakai oleh kumpulan pengganas ISIS – dan melakukan serangan di sini.

Seorang lagi ialah An’nadya An’nahari, bekas pengurus di sebuah lembaga berkanun, yang dikenakan RO pada Julai.

Menurut ISD, wanita itu didapati menjadi penyokong tegar Axis of Resistance (AOR), iaitu rangkaian ekstremis dan pengganas – termasuk Hezbollah dan Briged Al-Qassam (AQB).

Dia turut menyokong penggunaan kekerasan terhadap warga Israel dan bangsa Yahudi.

Encik Shanmugam menjelaskan dua individu sedemikian adalah contoh risiko terhadap naratif ekstremis yang “boleh mengancam keselamatan negara dan keharmonian kaum”.

“Warga Singapura amat prihatin tentang situasi di Gaza dan tentunya, keprihatinan itu tepat sekali. Ia situasi yang serius. Ribuan nyawa telah kehilangan.

“Ramai yang bersimpati dengan nasib yang melanda warga Palestin. Saya juga bersimpati.

“Tetapi rasa simpati terhadap mana-mana keperluan (negara) asing tidak bererti kita menyokong atau membenarkan pengganasan,” tambah beliau.

Beliau turut memberi penekanan kedudukan pemerintah terhadap keadaan di Gaza, dengan Singapura secara dasarnya bersedia untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, pada masa yang sesuai.

Ini merujuk kepada ucapan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 2 Julai.

Dr Balakrishnan berkata sebelum Singapura mengambil langkah untuk mengiktiraf Palestin, pada masa yang sesuai, antara pertimbangan yang akan diambil adalah sama ada langkah sedemikian akan membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara yang dirundingkan.

Justeru, Encik Shanmugam berkata Singapura akan terus meningkatkan usaha menangani radikalisme sendiri dan akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat untuk memperdalam usaha penjangkauan bagi menangani radikalisme dalam kalangan belia.

Beliau juga menambah sesiapa sahaja boleh terjerumus dengan pengaruh radikal.

Oleh itu, ISD telah menggariskan beberapa tanda yang boleh dikenal pasti, antaranya:

[ο] Melungsuri laman sesawang radikal,

[ο] Menghasut orang lain untuk bertindak ganas,

[ο] Berkongsi pandangan ekstremis dengan rakan-rakan dan saudara-mara,

[ο] dan melahirkan hasrat untuk menyertai tindakan keganasan di luar negara atau di Singapura.

Kenyataan ISD menambah sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki seseorang individu telah dipengaruhi fahaman radikal untuk menghubungi talian 1800-2626-473.

“Warga Singapura amat prihatin tentang situasi di Gaza dan tentunya, keprihatinan itu tepat sekali. Ia situasi yang serius. Ribuan nyawa telah kehilangan... Tetapi rasa simpati terhadap mana-mana keperluan (negara) asing tidak bererti kita menyokong atau membenarkan pengganasan.”
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg