Peperangan di luar negara dan pengaruh asing sentiasa memberi kesan kepada politik dalam negara, tetapi dunia yang semakin terhubung kini menjadikannya lebih sukar untuk mengekalkan perpaduan dalam masyarakat seperti Singapura, kata Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Meskipun mungkin terdapat perbezaan pandangan bergantung kepada kaum atau agama, teknologi hari ini memudahkan penyebaran pelbagai pandangan kepada segmen tertentu dalam masyarakat.
Ini disertai dengan sebahagian besar maklumat palsu yang tersebar mengenai setiap konflik, jelas Encik Shanmugam.
Beliau menambah bahawa pemerintah asing yang ingin campur tangan dalam urusan negara lain juga boleh menyasarkan populasi tertentu dalam sesebuah negara dan mengeksploitasi ketegangan sedia ada dengan lebih mudah.
Dalam satu dialog di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia pada 9 Oktober, Encik Shanmugam mengemukakan contoh bagaimana konflik di Gaza dan perang Russia-Ukraine dipandang secara berbeza oleh masyarakat di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Beliau memetik tinjauan yang menunjukkan bahawa penduduk Islam lebih terkesan dengan konflik di Gaza berbanding penduduk lain di Singapura, manakala sebilangan besar rakyat Singapura berbangsa Cina – terutama golongan lebih berusia – berpendapat bahawa Ukraine bersalah dalam perang Russia-Ukraine.
Beliau menambah bahawa tahap literasi tinggi dan populasi aktif dalam talian di Singapura membolehkan akses kepada kedua-dua maklumat sahih dan palsu, dan perang maklumat yang tidak semestinya menyasarkan Singapura turut berleluasa di republik ini.
Meskipun pendirian rakyat Singapura mengenai konflik ini sebahagiannya dipengaruhi oleh sumber maklumat yang diikuti, ikatan kaum dan agama turut menjadi faktor yang mempengaruhinya, ujar Encik Shanmugam.
“Ia adalah emosi manusia yang sangat mendalam,” katanya.
“Ia tidak akan berkurang dengan ketara walaupun selepas 60 tahun pembangunan negara.”
Beliau menambah, terdapat “penawar” kepada ancaman ini, termasuk sentiasa mengukuhkan hubungan antara rakyat; pemerintah yang dipercayai dan berkesan; serta media aliran umum yang dipercayai.
Sikap sinis dan kecenderungan mempercayai teori konspirasi berkait rapat dengan kekurangan kepercayaan terhadap kemampuan pemerintah untuk bertindak, jelas Encik Shanmugam.
Beliau memberi contoh di Britain, di mana pembunuhan tiga kanak-kanak pada Julai 2024 mencetuskan protes anti-imigran secara meluas akibat maklumat palsu di media sosial yang mendakwa penyerang itu seorang imigran yang beragama Islam.
Beliau berkata, keadaan ini meruncing sebahagiannya kerana sistem politik di Britain kini tidak mampu menangani isu asas seperti keselamatan awam, kekurangan perumahan, dan keperluan penjagaan kesihatan.
Sistem itu juga dipengaruhi ideologi yang membenarkan ucapan kebencian atas nama kebebasan bersuara, tambah Encik Shanmugam.
“Apabila itu menjadi rangka kerja bagi pemerintah anda… anda akan mendapat perundangan yang longgar, rusuhan, serangan berasaskan kaum dan agama,” katanya.
“Anda juga akan lihat sikap sinis, hilangnya kepercayaan – dan ini bukan sahaja berlaku di Britain, bahkan di serata Eropah dan Amerika Syarikat.”
Beliau menambah, satu lagi aspek penting adalah memiliki media aliran umum yang bebas, dipercayai dan tidak berpihak, yang mencerminkan pandangan daripada pelbagai anggota masyarakat.
Media Singapura secara amnya telah mencapai matlamat ini, meskipun media Barat menunjukkan sikap sinis terhadap republik ini, kata Encik Shanmugam.
Beliau berkata tinjauan menunjukkan akhbar SPH dan CNA yang dikendalikan Mediacorp lebih diyakini pembaca di Singapura berbanding akhbar Barat oleh pembaca di negara mereka sendiri.
“Terdapat banyak institusi di Singapura yang telah dibina selama bertahun-tahun dan kita mesti pastikan ia kekal dipercayai, dan itulah penawarnya.
“Tanpanya, kita tidak akan berada di mana kita berada sekarang,” ujar Encik Shanmugam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg