Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Rakyat perlu amalkan sikap tolak ansur tangani perbezaan

Beliau rujuk kes tembakan Charlie Kirk di AS akibat perpecahan politik; beri amaran tentang politik identiti di S’pura
Sep 12, 2025 | 9:19 PM
Shanmugam, kes pembunuhan Charlie Kirk, tolak ansur kunci tangani perbezaan pandangan
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bercakap pada media pada 12 September. - Foto ZB

Rakyat perlu mengamalkan sikap tolak ansur serta mencari jalan ke hadapan yang memberi manfaat kepada seramai mungkin, jika terdapat perbezaan pandangan berlaku dalam masyarakat, kata Menteri bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Beliau berkata tujuan utama demokrasi adalah untuk warga akur tentang kewujudan tersebut dan menanganinya melalui forum sedia ada seperti melalui perbahasan di Parlimen.

Encik Shanmugam berkata demikian sebagai mengulas mengenai kes tembakan terhadap aktivis politik Amerika Syarikat, Charlie Kirk, yang beliau sifatkan sebagai sesuatu yang “mengerikan tetapi tidak mengejutkan”.

Bercakap kepada media pada 10 September, beliau berkata:

“Perpecahan politik di Amerika Syarikat semakin buruk, sangat tegar, bahasa toksik yang digunakan terhadap lawan politik, orang yang mempunyai pandangan yang bertentangan, mereka pada dasarnya dilabel sebagai musuh.

“Sekarang anda melihat pembunuhan aktivis politik berprofil tinggi. Anda telah melihat (anggota parti) Demokrat diserang, ditembak mati juga. Anda telah melihat (anggota parti) Republikan dan golongan sayap kanan politik diserang, dan Charlie Kirk adalah antara mangsanya.”

Mendiang Kirk, seorang aktivis dan pengulas sayap kanan Amerika, terkenal kerana membantu mengukuhkan lagi sokongan bagi Presiden Donald Trump di kalangan pengundi muda, merangsang belia konservatif dan kini terkenal di peringkat antarabangsa melalui kumpulan yang diasaskannya pada usia 18 tahun.

Lelaki berusia 31 tahun itu, dengan jutaan pengikut di media sosial, sebelum ini menyokong Encik Trump apabila beliau mendakwa wujudnya penipuan dalam pilihan raya presiden 2020.

Encik Kirk mengasaskan kumpulan pelajar konservatif Turning Point USA dan seterusnya menjadi bintang yang semakin meningkat dalam Parti Republikan, yang ideologi konservatifnya sejajar rapat dengan Encik Trump.

Menjawab soalan media tentang beberapa individu dan kumpulan yang meraikan pembunuhan Kirk, Encik Shanmugam berkata bahawa tindakan sedemikian adalah “keji”.

“Seorang lelaki ditembak mati, dan anda meraikannya? Saya fikir (perbuatan ini) keji. Orang ramai boleh mempunyai pandangan yang berbeza. Anda cuba membincangkannya, dan anda boleh tidak bersetuju. Anda boleh tidak bersetuju dengan tegas.

“Tetapi untuk menyatakan bahawa individu seperti itu patut dibunuh kerana anda mempunyai pandangan yang berbeza, saya fikir ia menunjukkan keadaan yang sangat menyedihkan,” kata Encik Shanmugam.

Membandingkan keadaan di Amerika dengan Singapura, Encik Shanmugam berkata Singapura mempunyai “keadaan yang lebih tenang” kerana undang-undang Singapura yang ketat terhadap keganasan senjata api, pengedaran dadah, jenayah serta ucapan kebencian yang menghasut keganasan.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau kini telah melihat “tanda-tanda membimbangkan” daripada individu dan ahli politik yang terus menyokong politik identiti.

“Saya melihat beberapa trend membimbangkan di mana sesetengah ahli politik mengutarakan politik identiti berdasarkan kaum, berdasarkan agama. Kita telah melihatnya. Di setiap negara ada keuntungan politik dalam melakukan itu.

“Jika kita mengambil laluan itu, akhirnya Singapura akan menderita. Setakat ini, kita telah mengelak sebahagian besarnya, tetapi saya lihat tanda-tanda yang membimbangkan,” kata Encik Shanmugam, tanpa menjelaskan identiti individu atau ahli politik tersebut.

Encik Shanmugam berkata walaupun politik identiti – meminta orang ramai mengundi berdasarkan identiti tertentu, sama ada berdasarkan warna kulit atau agama – adalah asas politik di negara lain, Singapura tidak mengamalkan pendekatan sedemikian.

Malah, beliau mengulangi bahawa Singapura telah memilih untuk “mengambil laluan yang berbeza” dan menggesa rakyat Singapura untuk melihat apa yang telah dilakukan dengan baik di Singapura.

“Rakyat Singapura perlu terlebih dahulu memahami apa yang berkesan untuk Singapura, dan mengapa negara lain berada dalam situasi seperti itu. Apakah perbezaannya?

“Satu perbezaan utama ialah walaupun terdapat kepelbagaian kaum dan agama, kami telah banyak menjauhkan diri daripada politik identiti, dan saya berharap rakyat Singapura akan terus mengelak daripada politik identiti,” kata Encik Shanmugam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg