Topic followed successfully
Go to BHkuShanmugam gesa penyedia khidmat penting di S’pura tingkat pertahanan, tangani ancaman AI
Shanmugam gesa penyedia khidmat penting di S’pura tingkat pertahanan, tangani ancaman AI
Keselamatan siber dititik berat kerana serangan digital kini lebih pantas dan murah
Shanmugam gesa penyedia khidmat penting di S’pura tingkat pertahanan, tangani ancaman AI
Penyerang siber menyasarkan Singapura dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan serangan lebih murah dan pantas.
Ini merupakan isu serius bagi negara ini, dan pengendali perkhidmatan penting di sini mesti segera meningkatkan pertahanan mereka, kata Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, pada 9 Mei.
Ketika ditemui wartawan di luar acara kemasyarakatan di Yishun, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata beberapa sektor seperti telekomunikasi berisiko tinggi.
“Semua pemilik Prasarana Maklumat Penting (CII) – rangkaian telekomunikasi, sebagai contoh – perlu segera meningkatkan langkah keselamatan siber mereka,” katanya.
“Ini mestilah menjadi tanggungjawab di peringkat perlembagaan, dan tidak boleh diwakilkan kepada jabatan teknologi maklumat (IT) sahaja. Lembaga pengarah perlu berkata, ‘Kami bertanggungjawab ke atasnya’.”
Menurut The Straits Times (ST), 11 sektor CII di sini ialah penerbangan, penjagaan kesihatan, pengangkutan darat, maritim, media, perkhidmatan keselamatan dan kecemasan, air, perbankan dan kewangan, tenaga, komunikasi maklumat, dan pemerintah.
Encik Shanmugam berkata Singapura sedang menghadapi serangan siber yang canggih, sebahagiannya oleh penyerang yang berkaitan dengan negara, dan memberi amaran kumpulan sedemikian sedang menyepadukan AI ke dalam operasi mereka.
Beliau menyebut UNC3886, kumpulan pengintipan siber yang menyerang empat syarikat telekomunikasi utama di sini pada 2025.
Menurutnya, penyerang siber yang mengancam Singapura berkebolehan dan bertekad.
“Mereka boleh mencuri data sensitif. Mereka boleh menyerang perkhidmatan penting anda. Mereka boleh merosakkan sistem anda.
“Penyerang yang paling berkebolehan, paling banyak sumber, akan berupaya menyesuaikan diri dengan AI canggih secara cepat, menyepadukannya ke dalam keupayaan mereka,” ujar beliau.
Model Sempadan AI, yang merujuk kepada model paling canggih yang ada, merupakan kebimbangan utama.
Pada April, dilaporkan Claude Mythos dari Anthropic dapat mengenal pasti kelemahan dan menggodam sistem pada hari ia dikeluarkan.
Ini bermakna jika diberi di tangan yang salah, ia boleh digunakan untuk menggodam hampir setiap sistem dan menyebabkan huru-hara di seluruh dunia, menyebabkan pakar keselamatan siber bergelut untuk menanganinya. Disebabkan oleh bahaya ini, akses kepada Mythos telah dihadkan kepada peringkat tertinggi pertahanan siber.
Agensi Singapura pada masa ini tidak mempunyai akses langsung kepadanya, tetapi Encik Shanmugam berkata kebanyakan syarikat teknologi sempadan mempunyai pasukan kejuruteraan yang ditempatkan di Singapura.
Beliau berkata: “Kami bekerjasama rapat dengan mereka. Kami melihat apa yang mereka tawarkan, kami memutuskan apa yang paling sesuai untuk rakyat Singapura. Kami mempunyai agensi yang ditugaskan untuk melakukan ini, dan mereka sedang melihatnya dengan teliti.”
Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) memberi amaran pada 15 April model sempadan AI boleh meringkaskan masa penggodam melakar eksploitasi, daripada beberapa bulan kepada hanya beberapa jam.

