Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Serangan di Johor satu peringatan S’pura harus kekal waspada

Jun 28, 2024 | 5:40 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam bertemu media di Civil Service Club @ Tessensohn pada 28 Jun 2024 untuk memberi ulusannya tentang serangan pengganas yang berlaku di Malaysia baru-baru ini.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam bertemu media di Civil Service Club @ Tessensohn pada 28 Jun 2024 untuk memberi ulusannya tentang serangan pengganas yang berlaku di Malaysia baru-baru ini. - Foto ST

Penangkapan suspek serangan pengganas di Johor baru-baru ini adalah peringatan perlunya rakyat Singapura kekal waspada kerana ideologi kumpulan pengganas, ISIS, masih berleluasa di rantau ini dan didorong oleh rangkaian penyokong maya, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Beliau menekankan hal ini sebagai mengulas kes serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu serta penangkapan beberapa individu lain yang disyaki terpengaruh dengan ideologi pelampau yang telah mengancam Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Bertemu media pada 28 Jun, Encik Shanmugam berkata:

“Serangan terhadap balai polis pada 17 Mei dan penangkapan lain (yang dibuat di Malaysia baru-baru ini) menunjukkan perlunya kita sentiasa berwaspada di Malaysia dan Singapura.”

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata bapa dan abang penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Radin Imran Radin Mohd Yassin dan Radin Romyullah Radin Imran, dipercayai penyokong ISIS dan serangan tersebut besar kemungkinan didorong ideologi ISIS.

Selain anggota keluarga penyerang, pihak berkuasa Malaysia juga telah menahan sekurang-kurangnya 15 lagi suspek pro-ISIS pada Mei dan Jun.

“Matlamat akhir pengganas ialah untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Menteri Ehwal Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat ancaman serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Malaysia dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

“Ideologi ganas ISIS terus bergema di rantau ini dan didorong oleh rangkaian penyokong maya. Naratif pelampau meradikalkan ramai individu, termasuk di sini di Singapura, dan selagi ideologi ini berterusan, ia boleh terus mencetuskan serangan,” ujar Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menambah, keselamatan Singapura berkait rapat dengan keselamatan Malaysia disebabkan betapa dekatnya kedua-dua negara ini.

“Apa berlaku di Malaysia akan memberi kesan kepada landskap keselamatan kita,” kata beliau.

Ditanya sama ada terdapat sebarang ancaman langsung terhadap Singapura, Encik Shanmugam berkata buat masa ini, tiada ancaman sedemikian dikesan.

Bagaimanapun beliau menegaskan negara ini mempunyai dasar toleransi sifar “jadi kami menentang sebarang ancaman lebih awal”.

“Kami tidak tunggu sehingga ancaman itu berlaku atau hampir berlaku. Kami tidak berserah kepada nasib,” tegasnya.

Encik Shanmugam menambah Singapura mempunyai hubungan rapat dengan Cawangan Khas Malaysia (MSB) untuk menangani ancaman semasa.

“Kami mempunyai kerjasama yang sangat erat dan perkongsian risikan dengan pelbagai rakan asing termasuk MSB dan itu sangat penting untuk menangani ancaman semasa serta yang muncul dan ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) sentiasa dan terus berhubung rapat dengan MSB,” kata beliau.

Pun begitu, warga Singapura mesti sentiasa berjaga-jaga.

“Agensi, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, polis dan lain-lain, kami akan melakukan yang terbaik untuk mengesan dan mencegah sebarang serangan pengganas.

“Tetapi kita memerlukan semua orang dalam masyarakat memainkan peranan mereka, berwaspada terhadap aktiviti, tingkah laku yang mencurigakan. Ambil bahagian dan daftar dalam (aplikasi) SGSecure, jika anda dapati sebarang perkara yang mencurigakan, beritahu pihak berkuasa,” ujar Encik Shanmugam.

“Serangan terhadap balai polis pada 17 Mei dan penangkapan lain (yang dibuat di Malaysia baru-baru ini) menunjukkan perlunya kita sentiasa berwaspada di Malaysia dan Singapura. Apa berlaku di Malaysia akan memberi kesan kepada landskap keselamatan kita.” 
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg