Seorang warga China, Wu Jinxing, telah ditahan polis pada 27 Julai atas penglibatannya menyembunyikan barang-barang berharga yang dicuri.
Dengan nilai keseluruhan mencecah lebih $183,000, ia termasuk beg tangan jingga Hermes Birkin bernilai $75,000, jam tangan Jaeger-Lecoultre bernilai $30,000 dan sejumlah besar wang tunai dalam mata wang antarabangsa berbeza.
Menurut polis, Wu ditahan di Koridor Kereta Api, bekas tapak rel Kereta Api Tanah Melayu (KTM) berhampiran Bukit Sedap Road yang terletak di kawasan Holland Road, pada 27 Julai, selepas menerima panggilan daripada salah seorang mangsa.
Ketika itu, suspek sedang mengambil sebahagian daripada barang dicuri di kawasan semak.
Adalah dipercayai terdapat warga asing lain yang belum ditahan, yang juga terlibat dalam operasi pecah masuk.
Wu, yang berpakaian kemeja-T putih, seluar pendek biru dan selipar, dibawa ke kawasan Holland Road bersama tiga pegawai polis pada 2 Ogos, 11.12 pagi.
Pegawai polis membawa Wu ke tapak pertama tempat dia ditahan, berdekatan rumah-rumah banglo di situ.
Wu didakwa menyembunyikan barang-barang yang dicuri di beberapa pokok pisang di kawasan semak itu.
Sekitar 250 meter dari tapak simpan pertama, Wu menunjukkan kepada pegawai polis tapak simpan kedua barang yang dicuri.
Dia dan seorang rakan subahat dikatakan menyembunyikan barang dicuri itu, yang telah ditemui pada 27 Julai.
Sehari selepas ditahan di kawasan rumah banglo di Holland Road, Wu membawa polis ke sebuah bilik di Jxin Hotel di Lorong 10 Geylang, tempat sebilangan barang dicuri itu ditemukan.
Dia dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket pecah masuk antarabangsa.
Menurut perangkaan tahunan polis, kes kecurian di tempat kediaman merosot daripada 1,729 pada 2022 kepada 1,695 pada 2023.
Lebih separuh daripada kes pada 2023, atau 854 daripadanya, berlaku di premis kediaman.
Polis berkata kes itu lazimnya melibatkan barangan seperti wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, beg berjenama dan jam tangan.
Pada 11 Mac, seorang warga China 36 tahun, Wei Qingyou, mengaku salah terhadap tiga tuduhan pecah masuk dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Wu didakwa dengan kesalahan memiliki barang curi secara tidak jujur dan kesnya akan didengar di mahkamah pada 5 Ogos.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg