Shanmugam: Tiada maklumat kukuh 2 warga S’pura berjuang untuk IDF di Gaza
Shanmugam: Tiada maklumat kukuh 2 warga S’pura berjuang untuk IDF di Gaza
Tiada maklumat kukuh mengesahkan dua warga Singapura berjuang bersama Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam konflik Gaza, jelas Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 5 Mac.
Demikian respons Encik Shanmugam kepada soalan Parlimen yang diajukan Anggota Parlimen (AP) - Encik Dennis Tan (SMC Hougang), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) dan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) – berhubung laporan yang diterbitkan laman media penyiasatan Britain, Declassified UK.
Declassified UK melaporkan bahawa data IDF menunjukkan lebih 50,000 anggotanya yang memegang kerakyatan Israel dan sekurang-kurangnya satu kerakyatan negara lain telah mengambil bahagian dalam konflik tersebut, termasuk dua individu yang memegang pasport Singapura.
Salah seorang yang disenaraikan mempunyai dwi-kerakyatan Singapura-Israel, manakala seorang lagi memegang pelbagai kerakyatan.
Encik Shanmugam berkata:
“Kedudukan kami sentiasa jelas dan telah dinyatakan secara terbuka. Warga Singapura tidak sepatutnya menyertai sebarang konflik bersenjata di luar negara yang tidak melibatkan Singapura.
“Sebagai warga Singapura, kita hanya setia kepada Singapura, dan kita hanya boleh terlibat dalam tindakan ketenteraan untuk mempertahankan Singapura.
“Jika warga Singapura didapati berjuang atau bahkan merancang untuk berjuang dalam konflik bersenjata di luar negara, tindakan akan diambil terhadap mereka mengikut undang-undang negara.
“Perkara ini telah kami nyatakan, dan sebelum ini kami juga pernah menahan individu atas sebab tersebut.
“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika didapati mengancam keselamatan negara. Mereka yang didapati memegang pelbagai kerakyatan juga boleh dilucutkan daripada kerakyatan Singapura.”
Encik Tan kemudian bertanya sama ada pemerintah telah mendapatkan penjelasan daripada pemerintah Israel bagi mengesahkan dakwaan dalam laporan tersebut.
Encik Shanmugam menjawab:
“Pemerintah telah meminta penjelasan daripada pemerintah Israel. Kami masih belum menerima jawapan. Perlu difahami bahawa tentunya terdapat kesukaran yang mungkin dihadapi pemerintah lain dalam memenuhi permintaan ini.
“Walaupun (perbuatan ini) adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Singapura, dan kami menganggap ia bertentangan dengan kepentingan negara, ia mungkin tidak dianggap sebagai satu kesalahan di (bawah undang-undang) Israel, malah mungkin juga bukan satu kesalahan di negara lain.
“Dan individu yang melakukan perkara ini di negara lain, sama ada di Ukraine atau Russia, atau di Timur Tengah, atau untuk Israel, mungkin tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk mendedahkan kerakyatan berganda atau fakta lain berkaitan diri mereka.
“Dalam situasi sebegini, pemerintah tersebut mungkin tidak mampu memaksa mereka untuk memberi sebarang jawapan.”
Encik Shanmugam menambah bahawa pihak berkuasa Singapura akan mengambil tindakan terhadap individu-individu berkenaan sekiranya terdapat maklumat kukuh mengenai penglibatan mereka.

