Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, bakal melawat Oman dari 18 hingga 20 Januari 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 17 Januari, Encik Shanmugam dan Dr Maliki akan mempengerusikan bersama Dialog Strategik Singapura-Oman (SOSD) kedua dengan Menteri Luar Oman, Encik Sayyid Badr Bin Hamid Bin Hamood Al Busaidi, dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Oman, Mejar Jeneral (MG) Idris Bin Abdulrahman Bin Hamoud Al Kindi pada 19 Januari.
Dialog SOSD berfungsi sebagai platform utama untuk membincangkan kerjasama dua hala.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Oman.
Encik Shanmugam dan Dr Maliki bakal diiringi oleh pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (MHA), MFA, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Enterprise Singapore.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg