Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Wong temu Sultan Oman, perkukuh hubungan dua negara

Dec 15, 2023 | 8:27 PM
KUKUH HUBUNGAN DUA HALA: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu dengan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik (kanan), pada 15 Disember di Hotel Mandarin Oriental dengan kededua pemimpin itu mengesahkan semula kerjasama erat antara Singapura dan Oman.
KUKUH HUBUNGAN DUA HALA: Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu dengan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik (kanan), pada 15 Disember di Hotel Mandarin Oriental dengan kededua pemimpin itu mengesahkan semula kerjasama erat antara Singapura dan Oman. - Foto LINKEDIN / LAWRENCE WONG

Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu dengan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik, pada 15 Disember di Hotel Mandarin Oriental. Ini merupakan lawatan negara pertama Sultan Oman ke Singapura.

Dalam catatan LinkedIn beliau, Encik Wong mengatakan bahawa kedua-dua Singapura dan Oman ialah negara maritim yang menghargai perdagangan bebas dan hubungan global berasaskan peraturan.

“Kami berkongsi kepentingan bersama dalam mengeratkan hubungan dua hala kami,” ujar Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

“Kami bekerjasama untuk mengukuhkan kerjasama merentasi pelbagai bidang, termasuk dalam ekonomi, kemampanan, budaya dan pertukaran rakyat dengan rakyat.”

Dalam lawatannya ke Singapura yang berlangsung selama tiga hari dari 13 hingga 15 Disember, Sultan Haitham juga telah bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam; Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong; dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam pertemuan berasingan pada 14 Disember.

Pada 14 Disember, Encik Lee dan Sultan Haitham telah mengalu-alukan momentum baik dalam pertukaran dua hala serta penganjuran Dialog Strategik Singapura-Oman yang julung-julung kalinya diadakan pada Disember 2022.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) juga berkata kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa.

Dua Memorandum Persefahaman (MOU) juga telah dimeterai yang bakal menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang kebudayaan dan belia, serta pembangunan ekonomi.

Singapura dan Oman menjalin hubungan diplomatik pada 21 Februari 1985, dengan Oman menubuhkan Konsulat Jeneral di sini pada Mei 2011, manakala Singapura membuka Konsulat Jeneral di Muscat pada 2013.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg