Model klasifikasi Cina-Melayu-India-Lain-Lain (CMIO) telah berfungsi dengan baik buat Singapura, dan menghapuskannya mungkin boleh membawa kesan lebih buruk, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Bercakap di Parlimen pada 5 Februari, beliau berkata model klasifikasi CMIO telah membantu menjalin hubungan antara kaum yang harmoni dan menghapuskannya akan menyebabkan pemerintah tidak dapat memahami kesukaran yang dihadapi kumpulan kaum yang berbeza.
“Pandangan kita ialah kekurangan data berasaskan kaum menghalang kita untuk menilai dan memahami kesukaran yang dihadapi kaum berbeza di kawasan yang berbeza. Dan ia menghalang campur tangan berkesan untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Dan model fahaman pelbagai budaya kita, berbilang kaum, dengan data dan rangka kerja yang kita ada, telah berfungsi dengan baik buat kita setakat ini,” ujar Encik Shanmugam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, yang bertanya bila pemerintah akan mengkaji semula model CMIO dan bagaimana semakan sedemikian akan diambil.
Model itu telah diguna pakai oleh pemerintah sejak sebelum Singapura merdeka, tetapi kaitannya telah diperbahaskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Encik Shanmugam berkata menghapuskannya mungkin boleh membawa kesan lebih buruk.
Beliau memetik contoh bagaimana Perancis telah melihat lonjakan dalam kesalahan berkaitan kaum dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas ia mengharamkan pengumpulan data berasaskan kaum sejak 1978.
“Saya tidak mahu membuat kesimpulan mudah, garis lurus dari Perancis yang melarang pengumpulan data berasaskan kaum kepada keadaan perkaumannya hari ini, tetapi ia adalah satu titik rujukan di antara beberapa perkara sedemikian dalam isu yang pelbagai aspek dan kompleks,” jelasnya.
Pada Januari lalu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata semasa persidangan Institut Kajian Dasar (IPS) bahawa model CMIO harus sentiasa dikaji semula untuk mencerminkan landskap pelbagai budaya Singapura yang semakin kompleks.
Dalam persidangan tersebut, Encik Tong juga mengakui perbahasan berterusan perlu dilakukan sama ada model CMIO adalah dasar yang cukup untuk mewakili identiti Singapura yang sedang berkembang.
Bersetuju dengan Encik Tong, Encik Shanmugam berkata di Parlimen bahawa pemerintah menyemak semula rangka kerja CMIO secara berkala untuk melihat sama ada ia terus terkait, seperti dengan membenarkan pendaftaran bangsa dua laras.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa Singapura perlu berhati-hati daripada menghapuskan model tersebut.
Memetik kajian IPS 2021, Encik Shanmugam berkata faktor kaum kekal sebagai pengenal pasti utama bagi kebanyakan individu, dengan 87 peratus atau hampir 9 daripada 10 penduduk Singapura menganggap kaum penting bagi identiti mereka.
Beliau juga memetik Tinjauan CNA-IPS mengenai Hubungan Kaum 2021, yang turut mendapati lebih 60 peratus penduduk Singapura berpendapat bahawa dasar CMIO membantu memelihara keharmonian kaum dan harus dikekalkan.
Beliau menambah banyak dasar yang berjaya seperti Dasar Integrasi Etnik (EIP), yang mewajibkan tahap perwakilan kaum tertentu di estet perumahan awam, dibina berdasarkan model tersebut.
Dasar lain seperti Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), yang mewajibkan perwakilan minoriti di Parlimen, juga dibangunkan berdasarkan CMIO.
“Pendekatan Singapura terhadap fahaman pelbagai budaya adalah untuk mengiktiraf perbezaan kita, sambil secara aktif membina sikap saling menghormati dan memupuk persefahaman antara kumpulan kaum yang berbeza dalam masyarakat.
“Model CMIO adalah sebahagian daripada pendekatan ini. Individu boleh mendaftarkan kaum mereka berdasarkan keturunan, dan pada masa ini terdapat lebih 200 kaum berbeza yang mana warga Singapura didaftarkan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg