Meskipun Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengubah dasar untuk mengurangkan penumpuan terhadap keputusan akademik sebagai pengukur kejayaan, ibu bapa juga perlu mengubah minda mereka, kata Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Bercakap di Parlimen pada 5 Februari, beliau berkata ibu bapa mesti mengalihkan tumpuan mereka daripada membiarkan anak mereka bersaing dengan orang lain secara berlebihan berdasarkan keputusan akademik semata-mata.
Sebaliknya, mereka harus memberi lebih banyak masa dan ruang bagi perkembangan menyeluruh kanak-kanak dan juga membantu mereka memaksimumkan bakat dan kekuatan individu supaya mereka boleh menjadi versi terbaik bagi diri mereka sendiri.
“Pergantungan berlebihan pada tuisyen boleh mengurangkan kegembiraan pelajar untuk belajar dan mengambil masa daripada perkembangan menyeluruh mereka. Malah, boleh memudaratkan apabila pelajar bergelut untuk menghadapi tuntutan tambahan tuisyen.
“MOE telah memperkenalkan perubahan dasar untuk beralih daripada terlalu menekankan keputusan akademik dan meluaskan takrifan kejayaan. Tetapi langkah ini tidak akan berkesan jika minda tidak berubah,” jelas Cik Gan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).
Dr Wan Rizal bertanya tentang langkah yang sedang diambil MOE untuk menangani kesan peningkatan perbelanjaan tuisyen terhadap ekuiti pendidikan, khususnya bagi pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah.
Beliau memetik tinjauan terbaru pemerintah mengenai perbelanjaan isi rumah yang mendapati bahawa keluarga di Singapura membelanjakan $1.8 bilion bagi tuisyen swasta pada 2023, peningkatan daripada tahun-tahun sebelumnya.
Dalam jawapannya, Cik Gan berkata pertumbuhan keseluruhan dalam perbelanjaan tuisyen merentas isi rumah adalah serupa dengan pertumbuhan keseluruhan pendapatan isi rumah daripada semua sumber, berdasarkan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah 2023 oleh Jabatan Perangkaan (SingStat).
Ia juga serupa dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna untuk kursus pengayaan dan tambahan, tambahnya.
“MOE akur terdapat pelbagai sebab mengapa anak menjalani tuisyen.
“Terdapat beberapa pelajar yang memerlukan bantuan yang lebih berdedikasi dalam mengharungi pengajian mereka, ada juga yang mengambil tuisyen walaupun mereka mampu mengatasinya dengan baik,” jelas Cik Gan.
Mengulas mengenai perbezaan dalam perbelanjaan tuisyen antara isi rumah, Cik Gan berkata data tersebut konsisten dengan trend global, yang mana ibu bapa yang lebih berkemampuan menggunakan sumber dan rangkaian mereka untuk menyokong perkembangan anak mereka.
Contohnya, Cik Gan berkata golongan ibu bapa yang lebih berkemampuan akan mendaftarkan anak mereka bagi kelas pengayaan dan tuisyen tambahan atau lebih mahal, dengan harapan ini akan membantu anak mereka dalam pelajaran.
Dalam keadaan sedemikian, beliau menekankan bahawa MOE “tidak berada dalam kedudukan untuk campur tangan dalam keputusan peribadi tersebut”.
“Tetapi tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi seseorang pelajar, MOE akan terus memastikan sistem pendidikan kita menyediakan peluang mencukupi untuk semua pelajar mencapai potensi sepenuhnya.
“Tidak kira latar belakang mereka, dan ini lebih penting lagi untuk pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah,” kata Cik Gan, memetik Program Sokongan Pembelajaran dan Program Tuisyen Kolaboratif, yang menyediakan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah dengan tuisyen bersubsidi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg