Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Pemerintah, Parlimen, badan kehakiman perlu saling hormat sempadan, tidak langkaui bidang kuasa
Shanmugam: Pemerintah, Parlimen, badan kehakiman perlu saling hormat sempadan, tidak langkaui bidang kuasa
Shanmugam: Pemerintah, Parlimen, badan kehakiman perlu saling hormat sempadan, tidak langkaui bidang kuasa
Pemerintah, Parlimen dan badan kehakiman harus menghormati sempadan setiap institusi serta tidak melangkaui batas kuasa masing-masing, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, pada 26 November.
Rasa saling menghormati ini mesti bermula daripada pemerintah, yang turut memikul tanggungjawab utama untuk memperjelas sempadan tersebut dalam Perlembagaan dan perundangan, tambahnya.
Meskipun dengan kewujudan rasa saling menghormati, badan eksekutif dan badan kehakiman tidak akan sentiasa bersetuju dengan keputusan masing-masing, katanya dalam ucapan penutup Persidangan Kedaulatan Undang-Undang Sedunia 2026 yang dianjurkan sempena sambutan ke-200 tahun mahkamah.
Encik Shanmugam – yang menyandang jawatan Menteri Undang-Undang dari 2008 hingga 2025 – menyatakan bahawa ada kalanya mahkamah mungkin mentafsir undang-undang dengan cara berbeza daripada matlamat dasar pemerintah.
Apabila perkara itu berlaku, pemerintah perlu menghormati keputusan mahkamah, katanya.
Namun, sekiranya pemerintah berpandangan undang-undang itu perlu dipinda, ia harus kembali ke Parlimen, menjelaskan pendiriannya dan mengusahakan pindaan undang-undang, sambil menambah bahawa situasi sedemikian sangat jarang berlaku.
Kenyataan beliau dibuat selepas Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon, berkata pada 25 November bahawa semakan atau pindaan oleh Parlimen yang dicetuskan oleh sesuatu keputusan kehakiman mencerminkan cara cabang-cabang pemerintah yang berbeza melaksanakan tanggungjawab dalam lingkungan perlembagaan masing-masing.
Encik Shanmugam berkata pemerintah Singapura terus berusaha mengekalkan rasa saling menghormati antara institusi tersebut.
Persefahaman itu turut disokong oleh kesinambungan dalam kepimpinan institusi perundangan Singapura, katanya, sambil menyerlahkan bahawa negara ini hanya mempunyai empat Menteri Undang-Undang dan empat Ketua Hakim sejak kemerdekaan.
Ketua Hakim kelima, Encik Sushil Sukumaran Nair, akan mula menyandang jawatan tersebut pada Februari 2027.
“Setiap institusi perlu memahami batas tindakan mereka, dan tidak melangkaui bidang kuasa kerana tindakan melangkaui batas sering mengundang tindak balas, dan perkara itu tidak baik,” kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Rasa saling menghormati antara institusi sedemikian lebih mudah dikekalkan apabila setiap pihak jelas mengenai di mana bidang kuasa mereka bermula dan berakhir, kata Encik Shanmugam.
Apabila sempadan itu tidak jelas, mahkamah mungkin mendapati ia terpaksa memutuskan persoalan yang membawa kesan yang meluas pada dasar awam – seperti jenis bahan api yang patut digunakan bagi bas awam, atau cara mengagihkan ubat-ubatan tertentu melalui program penjagaan kesihatan awam – sebagaimana yang pernah berlaku di negara lain.
Encik Shanmugam berkata mahkamah mungkin tidak mempunyai pilihan lain kerana undang-undang mungkin tidak jelas dalam mengehadkan campur tangan kehakiman berhubung perkara berkaitan dasar awam.
Justeru, Singapura memikul tanggungjawab utama untuk menggariskan sempadan ini secara jelas dalam perlembagaan dan undang-undang, katanya.
Encik Shanmugam turut berkata pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan serta integriti mahkamah dan melindungi hakim daripada serangan awam – sama ada ia bersetuju atau tidak dengan sesuatu penghakiman tertentu.
“Keyakinan terhadap mahkamah bukan sesuatu yang terjamin. Sekali ia hilang, amat sukar untuk mendapatkannya semula,” katanya.
“Kita mesti melindungi martabat dan kedudukan badan kehakiman. Jika tidak, laungan mengenai kedaulatan undang-undang akan hilang kredibilitinya.”