Meskipun keputusan mahkamah mungkin membawa kepada semakan amalan badan eksekutif, rundingan awam atau tindakan perundangan, ini tidak bermakna badan kehakiman mengambil alih peranan politik, kata Ketua Hakim (CJ) Encik Sundaresh Menon pada 25 November.

Dialog perlembagaan berlaku apabila keputusan satu cabang pemerintahan membawa kepada tindakan cabang lain dalam batas bidang kuasanya menurut perlembagaan.

Beliau berkata demikian di Persidangan Kedaulatan Undang-Undang Sedunia di Hotel Shangri-La.

Kenyataannya menyusuli pembentangan Rang Undang-Undang Hukuman (Penipuan) di Parlimen pada 3 November, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengutamakan pemulihan pesalah muda.

Pada September, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan empat pesalah penipuan yang melakukan kesalahan ketika berusia di bawah 21 tahun, menggantikan hukuman latihan pemulihan dengan probesen antara setahun dengan 18 bulan.

Undang-undang yang dicadangkan itu mengutamakan hukuman penjara atau latihan pemulihan berbanding probesen bagi mencegah kesalahan sedemikian.

Encik Menon memetik kes ahli perniagaan Singapura, Tan Seet Eng, yang ditahan tanpa perbicaraan pada 2013 atas perintah menteri di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) demi kepentingan keselamatan awam, keamanan dan ketenteraman.

Tan didakwa mengetuai dan membiayai sindiket mengatur keputusan perlawanan bola sepak sedunia.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mahkamah Rayuan membatalkan perintah penahanannya kerana alasan yang dikemukakan tidak menunjukkan bagaimana kegiatannya menjejas keselamatan awam, keamanan dan ketenteraman di Singapura.

Kesan keputusan itu melangkaui kes Tan, kata Ketua Hakim.

Meskipun Tan ditahan semula, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyemak kes lain dan membebaskan tiga tahanan tanpa perintah mahkamah.

Encik Menon berkata kes itu memperlihatkan dialog perlembagaan tanpa kedua-dua institusi mengambil alih fungsi masing-masing.

Beliau turut memetik cabaran terhadap kesahihan Seksyen 377A Kanun Keseksaan dari sudut perlembagaan, yang sebelum ini menetapkan perbuatan “sangat tidak senonoh” antara lelaki sebagai kesalahan jenayah.

Mahkamah Rayuan menolak cabaran itu atas alasan prosedur berikutan dasar pemerintah untuk tidak menguatkuasakan peruntukan tersebut, tanpa memutuskan secara langsung sama ada undang-undang itu harus kekal berkuat kuasa.

Namun, berdasarkan ulasan mahkamah, Peguam Negara (AG) menasihati pemerintah mengenai risiko peruntukan itu dibatalkan sekiranya dicabar lagi.

Pemerintah kemudian mengadakan rundingan meluas sebelum memansuhkannya.

Ketua Hakim turut menjelaskan bahawa Perlembagaan Singapura memperuntukkan kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman kepada institusi berlainan, yang masing-masing harus menghormati batas peranan yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Mahkamah bertanggungjawab mentafsir dan menerapkan undang-undang, manakala persoalan dasar yang rumit sewajarnya diserahkan kepada cabang politik pemerintahan.

Namun, cabang tersebut harus menghormati keputusan mahkamah dan tetap tertakluk pada batas undang-undang yang dikuatkuasakan badan kehakiman bebas.

Encik Menon berkata pemahaman Singapura mengenai kedaulatan undang-undang menekankan kepentingan masyarakat di samping melindungi hak individu.

Menjelaskan bahawa undang-undang sering perlu mengimbangi hak dan kepentingan sesama individu serta antara individu dengan masyarakat, Encik Menon berkata kebebasan seseorang tanpa batas hampir pasti menjejas kebebasan orang lain.

Berbanding pendekatan berteraskan hak individu, pendekatan ini memberikan penekanan lebih besar kepada konteks masyarakat dalam pelaksanaan hak individu.