Pemerintah Singapura bersedia menyalurkan lebih banyak bantuan wang dalam menyokong usaha mengumpul dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Ini sebagai tambahan kepada dana permulaan sebanyak $1 juta yang diumumkan sebelum ini pada 20 Disember.
Namun, Encik Shanmugam berkata cabaran terbesar ialah memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Jordan telah memberikan sokongan yang sangat besar.
“Namun, walaupun Jordan merupakan negara jiran, saya rasa tidak semua perkara berada di bawah kawalan Jordan dari segi penghantaran bantuan, dan malangnya, itulah isu terbesar – iaitu kesukaran untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.
“Saya yakin, jika terdapat kejelasan mengenai keperluan di lapangan serta keupayaan untuk menyalurkan bantuan, lebih banyak usaha boleh dilakukan, bukan sahaja oleh kami, tetapi juga oleh seluruh dunia,” kata Encik Shanmugam.
Beliau berkata demikian ketika berucap di edisi kelima acara pembungkusan bantuan kemanusiaan untuk Gaza di Charis Tabernacle pada 31 Disember, yang dianjurkan oleh badan bukan pemerintah (NGO) setempat, Humanity Matters (HM).
Acara itu disertai sekitar 150 sukarelawan.
Pada 20 Disember, Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah mengumumkan bahawa pemerintah akan menyalurkan wang permulaan sebanyak $1 juta dalam menyokong usaha mengumpul dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan ia akan diagihkan secara sama rata kepada beberapa badan.
Ini termasuk Palang Merah Singapura (SRC), Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), HM dan Mercy Relief, dengan wang itu akan digunakan bagi membiayai bekalan air, kumbahan, kebersihan, makanan dan usaha bantuan lain di Gaza.
Sedang dunia menyambut tahun baru 2026, Encik Shanmugam berkata masih terdapat ramai orang di zon perang yang terus menderita, termasuk di Gaza dan juga rakyat Sudan yang menghadapi krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Di samping itu, terdapat negara-negara lain yang terjejas oleh bencana alam seperti gempa bumi dan ribut taufan.
“Kami bersimpati dengan orang di seluruh dunia yang sedang menderita... Kita telah melalui tahun ini meskipun terdapat pergolakan ekonomi, dan menanti-nantikan tahun baru dalam keadaan yang agak aman dan tenang berbanding dengan seluruh dunia.
“Oleh itu, saya fikir kita harus bersyukur, dan pada masa yang sama, melakukan apa yang kita mampu untuk membantu orang lain,” kata beliau.
Sejauh ini, Singapura telah menyumbang bantuan kemanusiaan kepada mangsa di Gaza sebanyak 11 kali sejak permulaan konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, dengan jumlah melebihi $25 juta.
Di acara pembungkusan yang diadakan, para sukarelawan telah membungkus sebanyak 60,000 pek makanan siap dimakan berupa sup kacang serta 3,000 unit bekas air boleh lipat.
Bantuan tersebut bernilai $204,000 secara keseluruhan, yang dibiayai oleh rakyat Singapura dan pemerintah, menurut HM dalam satu kenyataan.
HM menambah bahawa empat edisi pembungkusan bantuan sebelumnya telah menghimpunkan lebih daripada 1,200 rakyat Singapura yang tampil ke hadapan untuk membantu membungkus bekalan bantuan bagi menangani keperluan mangsa yang terjejas oleh konflik yang berlaku.
Bekalan tersebut termasuk makanan, bekalan air, penjagaan kesihatan, kebersihan serta keperluan sokongan psikososial kanak-kanak.
Antara yang hadir menyingsing lengan untuk membantu ialah pelajar tahun pertama Maktab Rendah Tampines Meridien, Farhah Faesal Bintalib, 17 tahun.
Pelajar itu gembira berpeluang melabur waktu membantu membungkus bantuan kemanusiaan bagi Gaza, sambil menambah bahawa ia telah memberi banyak manfaat kepada dirinya sebagai belia.
“Saya cuba melakukan yang terbaik walaupun saya hanya seorang pelajar. Setiap sumbangan kecil tetap bermakna dan saya rasa ia sangat penting, kerana saya tidak berada di sana bersama mereka secara fizikal.
“Saya tidak tahu bagaimana perasaan berada di situ, jadi saya ingin cuba membantu mereka sebanyak yang saya mampu dari Singapura,” kata Farhah.
HM berkata kargo bantuan itu akan dihantar ke Jordan menggunakan dua kontena bersaiz 40 kaki pada awal Januari 2026 oleh syarikat perkapalan kontena setempat, Pacific International Lines (PIL).
Kargo itu akan disalurkan ke Gaza melalui laluan darat atau penerbangan udara agar dapat sampai sempena Ramadan yang dijangka bermula 18 Februari 2026.
PIL telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan HM pada Mac 2025 di bawah kerjasama tiga tahun untuk menyumbang sehingga $1 juta dalam bentuk perkhidmatan penghantaran dan logistik, tambah HM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg