Meskipun motif sebenar serangan berdarah di Pantai Bondi, Australia, masih belum jelas, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata ucapan kebencian sering menjadi pemangkin dalam insiden pengganasan lain.
Ini kerana ia mewujudkan suasana yang rentan kepada keganasan.
Singapura, tegas beliau, mempunyai undang-undang ketat terhadap ucapan kebencian serta perbuatan yang menghasut kebencian atau keganasan. Insiden sejarah berkaitan dengan kaum dan agama jelas menunjukkan kesan buruk dan nyata perkara sebegini.
“Oleh itu, Singapura mengambil pendirian bahawa kami tidak akan membenarkan ucapan kebencian (serta perbuatan lain) yang disasarkan terhadap sebarang kumpulan.
“Bukan terhadap umat Islam, bukan terhadap orang Yahudi, bukan terhadap penganut Kristian, bukan terhadap penganut Hindu, dan bukan terhadap sebarang kumpulan agama atau kaum.
“Begitu juga, kami tidak akan membenarkan ucapan kebencian terhadap sebarang masyarakat yang ditakrif berdasarkan sesuatu ciri, misalnya kumpulan yang mempunyai pendekatan berbeza terhadap isu LGBT,” kata Encik Shanmugam dalam catatan Facebook pada 15 Disember.
Dalam kejadian di Pantai Bondi, pasangan bapa dan anak, Sajid Akram dan Naveed Akram telah melepaskan tembakan ke arah penganut Yahudi yang berkumpul di pantai itu untuk sambutan Hanukah pada petang Ahad, 14 Disember.
Seramai 16 nyawa, termasuk Akram, terkorban manakala puluhan lagi cedera.
Dalam pada itu Encik Shanmugam menjelaskan ucapan kebencian merendahkan satu kelompok, menunding jari kepada mereka sebagai punca masalah, serta menafikan nilai kemanusiaan mereka. Akhirnya, keganasan terhadap mereka dianggap wajar.
Semasa sesi dialog bersama masyarakat Yahudi pada November, beliau pernah berkata:
“Di Singapura, undang-undang dan norma kita mencerminkan prinsip yang sangat mudah: semua orang, tanpa mengira kaum atau agama, mesti diperlakukan secara adil.
“Mereka mesti dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan bebas. Mereka mesti dilindungi daripada diskriminasi, gangguan dan keganasan.
“Semua rakyat Singapura, dan semua masyarakat di Singapura, apa pun perasaan kita terhadap Palestin atau Israel, mesti berasa selamat dan dihormati di sini.”
Pendekatan ini turut disokong oleh undang-undang kawalan senjata yang ketat dan hukuman pencegahan seperti hukuman mati bagi kesalahan pembunuhan, kata Encik Shanmugam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg