Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wira Pantai Bondi pernah khidmat dalam pasukan polis

Dec 16, 2025 | 1:25 PM
Ahmed Al Ahmed, bondi beach, sydney, New South Wales, Encik Chris Minn
Pemimpin New South Wales, Encik Chris Minns (kiri), berbual dengan Encik Ahmed Al Ahmed, lelaki yang berjaya merampas senjata salah seorang penyerang di Pantai Bondi, di Hospital St George di Sydney. - Foto AFP

SYDNEY: Encik Ahmed Al Ahmed, yang kini dirawat di hospital, bertindak berani merampas senjata suspek dalam serangan anti-Yahudi di Pantai Bondi, Australia – satu aksi yang mendapat pujian dunia.

“Apa yang boleh saya katakan? Saya melalui masa yang sangat sukar, hanya Tuhan sahaja tahu,” katanya.

Memetik Global News, Encik Ahmed, 43 tahun, yang juga peniaga buah-buahan di Sydney, meminta orang ramai mendoakan dirinya dan menyampaikan mesej positif kepada rakyat Australia di tengah tragedi yang berlaku.

Video bapa kepada dua anak perempuan dan warga Australia kelahiran Syria itu dirakam berlari ke arah seorang suspek penyerang bersenjata dan bergelut dengannya ketika tembakan dilepaskan.

Rakaman tular menunjukkan Encik Ahmed berlindung di belakang sebuah kereta sebelum merampas senjata daripada tangan suspek dan mengacukannya kembali, memaksa penyerang berundur.

Encik Ahmed kemudian ditembak beberapa kali oleh penyerang kedua dan menjalani pembedahan di sebuah hospital di Sydney.

Difahamkan, Encik Ahmed ditembak di bahu kiri dan tangan serta berdepan tempoh pemulihan sehingga enam bulan.

Dalam pada itu, bapanya, Encik Mohamed Fateh al Ahmed, berkata anaknya adalah seorang wira yang pernah berkhidmat dalam pasukan polis dan mempunyai semangat mempertahankan orang ramai.

“Apabila beliau melihat orang ramai terbaring di atas tanah dan berdarah, dengan pantas suara hatinya mendorong untuk menyerang salah seorang pengganas serta merampas senjatanya.

“Beliau tidak memikirkan latar belakang orang yang diselamatkannya, orang yang mati di jalanan… beliau tidak membezakan antara satu kewarganegaraan dengan kewarganegaraan yang lain,” katanya.

Memetik SBS News pula, sepupunya, Encik Mustafa Al-Asaad, berkata Encik Ahmed memberitahu bahawa Tuhan mengurniakannya keberanian untuk ‘menerkam’ ke arah penyerang bersenjata terbabit.

Terdahulu, media melaporkan serangan itu menyasarkan orang ramai yang berkumpul bagi sambutan Hanukkah di pantai berkenaan, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan ramai yang lain.

Seorang suspek, Naveed Akram, 24 tahun, ditahan polis manakala seorang lagi suspek yang juga bapanya, Sajid, 50 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, memuji tindakan Encik Ahmed dan berkata keberaniannya menyelamatkan banyak nyawa.

“Apa yang kita saksikan dalam tempoh 24 jam lalu adalah sisi terburuk kemanusiaan dalam satu tindakan keganasan.

“Namun, kita juga melihat contoh terbaik kemanusiaan apabila Ahmed berlari ke arah bahaya, mempertaruhkan nyawanya sendiri,” katanya kepada pemberita.

Media sama turut melaporkan satu kutipan dana dalam talian untuk Ahmed mengumpul lebih AUD1.7 juta (kira-kira $1.5 juta) dengan lebih 30,000 sumbangan dari seluruh dunia.

Kutipan dana itu diwujudkan oleh Car Hub Australia dan YouTuber, Zachery Dereniowski, sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian Encik Ahmed. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg