Penting bagi Singapura mengekalkan pendirian tidak bertolak ansur atau ‘toleransi sifar’ terhadap dadah, di kala Singapura terletak di rantau dengan kegunaan dan ketersediaan dadah berleluasa, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Pendirian tidak bertolak ansur itu lebih-lebih lagi diperlukan terhadap pengedar dadah di sini kerana sekiranya aliran dadah ke Singapura menerusi pengedar sedemikian tidak disekat sama sekali, ia akan membawa kerosakan kepada masyarakat secara umum, tambah beliau.
Encik Shanmugam menyatakan demikian dalam satu temubual bersama pemberita dari rangkaian saluran CNN, Encik Ivan Watson, yang disiarkan pada 19 Oktober.
Encik Shanmugam berkata: “Kita ada kawasan Golden Triangle (Segi Tiga Emas), iaitu salah satu pusat pengeluaran heroin besar di dunia.
“(Dadah) sedemikian datang melalui… rantau Asia Tenggara bukan sekadar tempat terakhir, tetapi juga sebagai lokasi persinggahan ke tempat lain, jadi ia mudah didapatkan.
“Tahap penguatkuasaan undang-undang juga lain di negara berbeza. Sikap terhadap dadah berbeza-beza, dan begitu juga kumpulan jenayah.
“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa kumpulan penjenayah menganggap Mekong sebagai taman permainan mereka.”
Golden Triangle merujuk kepada sempadan antara Myanmar, Thailand dan Laos.
Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan pada 2022 bahawa Asia Timur dan Tenggara mempunyai kes Meth (methamphetamine) yang meluas – 151 tan dadah Meth telah dirampas di wilayah itu pada 2022.
Menurutnya, wilayah tersebut tidak boleh ditadbir dengan mudah, dengan Myanmar turut menghadapi perang saudara.
“Tidak semudah itu untuk mengawasi (wilayah tersebut) kerana kawasan hutan yang begitu besar, dan sebahagian besarnya tidak dihuni.
“Mudah bagi penjenayah menubuhkan makmal mereka dan menjalankan kegiatan mereka. Dan sedikit sebanyak, mereka melakukannya dengan sokongan pelbagai pihak yang telah disogok,” tambah Encik Shanmugam.
Itulah sebabnya beliau menjelaskan Singapura perlu terus mengekalkan hukuman tegas sebagai langkah pencegahan, khususnya terhadap pengedar dadah. Sekiranya golongan ini didakwa mengedar kuantiti banyak, mereka berdepan hukuman gantung.
Beliau berkata bahawa tujuan utama pengedar sedemikian hanyalah meraih keuntungan, tanpa mengendahkan sengsara terhadap pengguna dan masyarakat secara umum.
Mengenai langkah pencegahan tegas, termasuk hukuman gantung, dan pendekatan tidak bertolak ansur Singapura terhadap dadah, beliau berkata:
“Dasar-dasar ini telah ditetapkan oleh generasi pemimpin terdahulu. Saya membantu meneruskannya, dan menerangkan kepada masyarakat umum, dengan sokongan seluruh Kabinet.
“Dan saya akan mengatakan bahawa ia sudah pasti menyelamatkan ribuan nyawa. Saya tidak merujuk kepada dasar semasa, tetapi selama bertahun-tahun lamanya, ribuan nyawa.
“Jadi, dari sudut pandangan itu, adakah ini perkara yang betul untuk dilakukan? Jawapannya ialah ya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg