Topik diikuti
Pergi ke BHkuShaw Theatres buka cawangan ke-8 di Jem, kembali ke barat S’pura
Shaw Theatres buka cawangan ke-8 di Jem, kembali ke barat S’pura
Shaw Theatres buka cawangan ke-8 di Jem, kembali ke barat S’pura
Mereka yang tinggal di kawasan barat Singapura kini boleh bergembira dengan pembukaan rasmi cawangan pawagam Shaw Theatres yang kelapan di pusat beli-belah Jem pada 27 Jun.
Kompleks pawagam baharu di Jurong East itu menampilkan 10 dewan, termasuk dewan terbesarnya, ‘Dreamers’, yang direka khas untuk keluarga dengan anak kecil.
Dewan itu mempunyai pencahayaan lembut dan tahap audio lebih rendah, dengan persekitaran yang selesa untuk kanak-kanak.
Ia juga dilengkapi dengan gelongsor sepanjang lima meter dan kolam bola seluas 17 meter persegi yang mengandungi sekitar 14,000 hingga 15,000 bola.
Pembukaan itu turut menandakan kepulangan pengendali pawagam itu ke kawasan barat, selepas cawangannya di JCube ditutup pada 2023 apabila pusat beli-belah itu menghentikan operasinya untuk pembangunan semula, kata jurucakap Shaw dalam kenyataan pada 27 Jun.
Ruang di Jem itu, sebelum ini, digunakan Cathay Cineplexes sehingga Mac 2025.
Pengarah Shaw Organisation, Encik Mark Shaw, berkata pihaknya gembira kembali ke kawasan kejiranan tersebut.
“Shaw Theatres sentiasa mempunyai kehadiran di Jurong East, dari Jurong Entertainment Centre dan JCube hingga Jem kini,” katanya.
Beliau menambah, cawangan baharu itu merupakan satu “pencapaian besar” kerana ia turut menandakan lokasi IMAX kelima Shaw Theatres.
Dewan IMAX itu mempunyai sistem pancaran laser 4K dan sistem bunyi yang tepat untuk memberikan kejernihan imej dan warna yang lebih baik.
Shaw Theatres turut menyediakan dua dewan ‘Premiere’ untuk penonton yang mahukan pengalaman lebih mewah, dengan perkhidmatan makan malam premium, pelayan dan kawasan lounge eksklusif.
Dengan cawangan di Jem, pengendali itu turut memperkenalkan kedai gelato dan pencuci mulut baharu, Centro, yang terbuka kepada orang ramai.
“Dengan kehadiran Centro, pelanggan kami akan dapat menikmati pengalaman makan dan menonton filem sekali gus di satu lokasi,” kata Shaw.
Shaw Theatres mula mengendalikan dewan pawagam biasa di Jem pada November 2025, manakala dewan IMAX dan ‘Dreamers’, serta lounge ‘Premiere’ dan kedai gelato dan pencuci mulut Centro, dibuka secara berperingkat dalam tempoh dua bulan lalu.
