Apabila diminta mengosongkan premis, Hai Ge Ji di North Bridge Road pada April, pasangan selebriti Sheikh Haikel dan Anna Belle Seri Ayu Francis, berdepan keputusan besar mengenai masa depan perniagaan keluarga mereka.

Menurut Anna Belle, pajakan dua tahun mereka berakhir pada April dan pemilik hartanah itu memilih untuk tidak memperbaharuinya.

“Pada April, kami diberitahu perlu keluar dalam bulan yang sama.

“Tiada ruang untuk rundingan atau perbincangan.

“Saya terlepas pandang tarikh tamat pajakan dan menyangka kami akan dibenarkan memperbaharuinya,” kata beliau.

Pasangan itu kemudian memohon untuk terus berniaga untuk sementara waktu sebelum meninggalkan premis tersebut pada Jun.

Di sebalik tekanan tersebut, mereka memilih untuk melihat perpindahan tersebut sebagai peluang untuk memikirkan semula jenama Hai Ge Ji.

“Memang mencabar, tetapi kami membuat keputusan untuk tidak terlalu memikirkan apa yang telah berlaku. Kami bertanya, ‘Jika diberi peluang membina Hai Ge Ji sekali lagi, apakah yang akan kami lakukan secara berbeza?’”

Jawapannya adalah untuk menyatukan beberapa konsep mereka di satu ruang lebih besar di 69 dan 70 Bussorah Street yang mempunyai hampir 80 tempat duduk, berbanding 48 sebelum ini.

“Apabila kami meninggalkan tempat lama, saya fikir inilah masa yang sesuai untuk meletakkan semua jenama Hai Ge Ji di bawah satu bumbung.

“Bagi kami, ruang baharu ini adalah Hai Ge Ji 2.0,” katanya.

Hidangan mi daging kering, ‘Hainan Beef Noodles (Dry)’ mempunyai kuah yang pekat dengan hirisan daging, bebola daging dan urat lembu.
Hidangan mi daging kering, ‘Hainan Beef Noodles (Dry)’ mempunyai kuah yang pekat dengan hirisan daging, bebola daging dan urat lembu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selain Nasi Ayam Hainan yang terkenal dengan jenama itu, pelanggan kini boleh menikmati Mi Daging Hainan, menggunakan bihun tebal atau thick bee hoon yang disaluti kuah pekat berwarna gelap, dengan sup daging berherba dan dihidangkan berasingan.

Bagi Anna Belle, kedua-dua hidangan itu turut membawa identiti makanan Singapura.

“Nasi Ayam Hainan dan Mi Daging Hainan yang kita kenali sebenarnya dicipta di Singapura, bukan di Hainan.

“Hidangan ini disesuaikan dengan cita rasa masyarakat di sini.

“Kami rasa bangga dapat menyajikannya,” kata beliau.

Konsep Hai Ge Ji Desserts pula dijangka dilancarkan hujung Ogos ini, dan ia menawarkan pilihan halal bagi manisan Cina dan Asia.

Antaranya Durian Mousse, Durian Snow Mountain, Durian Chendol, Mango Snow Mountain, Mango Pomelo, puding karamel serta peach gum dengan kurma merah dan cendawan putih.

Perancangan pasangan itu tidak terhenti pada makanan.

Tingkat dua restoran mereka menjalani kerja ubah suai untuk menempatkan Woodbe by Hai Ge Ji, satu ruang untuk bekerja, mengadakan pertemuan, menghasilkan karya dan menjalankan kelas.

Pakej yang merangkumi penggunaan ruang serta makanan dan minuman turut dirancang.

Nama Woodbe pada asalnya diinspirasikan daripada meja kayu besar atau wood slab table yang menjadi antara ciri ruang tersebut.

Namun, Sheikh Haikel melihat nama itu membawa pengertian lebih luas.

“Haikel kata Woodbe boleh membawa maksud seperti ‘Would be a great idea’ atau ‘Would be creating something special’.

“Kami mahu ia menjadi seperti satu think tank (ruang kumpulan pemikir), tempat untuk duduk, membaca buku, berbincang atau menghasilkan sesuatu,” kata Anna Belle.

Menurutnya, ruang tersebut juga boleh menjadi tempat golongan muda berkumpul, terutama mereka yang mungkin tidak mempunyai tempat sesuai untuk bertemu atau menghasilkan sesuatu bersama.

Woodbe mencerminkan rancangan mereka membangunkan konsep di bawah Hai Ge Ji supaya berpotensi berdiri sendiri di lokasi berbeza pada masa hadapan nanti.

Mi Daging Hainan, misalnya, boleh didapati di Yishun dan Plaza Singapura selain Bussorah Street, manakala konsep pencuci mulut dan Woodbe membuka satu lagi ruang untuk pengembangan jenama itu.

Namun, pembangunan Hai Ge Ji menuntut kos yang tinggi.

Menurut Anna Belle, sistem ekzos dapur sahaja menelan belanja sekitar $20,000 belum termasuk kos lain.

“Semua perlu dibayar dahulu, jadi aliran tunai memang satu cabaran.

“Kos bekalan juga semakin mahal, tetapi kami tidak mahu memindahkan semua kos itu kepada pelanggan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berharap perniagaan makanan dan minuman (F&B) tempatan mendapat akses lebih baik kepada pembiayaan.

“Kadangkala sukar bagi F&B tempatan menunjukkan angka yang cukup baik untuk mendapatkan pinjaman kerana perniagaan ini sendiri memang mencabar.

“Kami perlukan lebih banyak sokongan,” kata Anna Belle.

Pasangan dan usahawan suami isteri itu mendapat sokongan dan pinjaman daripada keluarga serta kawan-kawan.

“Dari segi kewangan, keadaan kami terdesak sehinggakan saya terpaksa menghentikan kelas tambahan anak saya.

“Namun, hal ini juga memberi peluang kepada saya untuk meluangkan masa mengajar anak saya sendiri,” luah Anna Belle.

Menurutnya, menjadi pemilik perniagaan bukan pekerjaan yang glamor.

“Ia bukan sekadar memastikan makanan keluar dari dapur, tetapi juga membimbing pasukan dan menjaga pekerjaan mereka.

“Saya bangga memikul tanggungjawab terhadap mereka yang bekerja keras untuk jenama ini,” tambahnya.

Semangat itu juga selari dengan impian Sheikh Haikel.

“Walaupun Haikel seorang rapper, impiannya adalah untuk memberi orang makan sehingga akhir hayatnya.

“Apabila melihat pelanggan menikmati makanan kami, semuanya terasa berbaloi,” kata Anna Belle sambil menambah bahawa Hai Ge Ji mahu menawarkan makanan halal yang jarang ditemui.

Bagi Anna Belle, Bussorah Street akhirnya memberi mereka ruang untuk terus mencuba idea baharu.

“Makanan yang enak, layanan yang baik dan kenangan yang tercipta bersama bagi saya, itulah yang paling penting.

“Lagi-lagi dengan lokasi di Bussorah Street... saya ingin jenama tempatan ada di kawasan ini.”

Hai Ge Ji
Alamat: 69 & 70 Bussorah Street, Singapura 199483
Waktu Operasi:
  • Isnin, 9 pagi hingga 9 malam; Selesa, Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 9 malam; Jumaat, 11 pagi hingga 11 malam dan Sabtu 11 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon