Singapore Airlines (SIA) telah memperbaharui penajaan utama Grand Prix Singapura Formula Satu (F1) untuk empat tahun lagi sehingga 2028, syarikat penerbangan nasional itu mengumumkan pada 16 Januari.
Perkongsian SIA dengan perlumbaan malam ikonik itu bermula pada 2014, dan lanjutan terbaru itu akan bermula pada hujung minggu perlumbaan dari 3 hingga 5 Oktober di Litar Jalanan Marina Bay.
Ketua pegawai komersial SIA, Encik Lee Lik Hsin, berkata dalam satu kenyataan: “Grand Prix Singapura adalah satu acara penting dalam kalendar sukan dan pelancongan Singapura.
“Ia telah menjadi ikonik bukan sahaja untuk mempamerkan pemandangan bandar kita yang indah, tetapi juga untuk menonjolkan kedudukan Singapura sebagai hab global utama.
“Pelanjutan ini menekankan komitmen SIA yang lama terjalin untuk menyokong pembangunan sukan dan pelancongan di Singapura.”
Cik Emily Prazer, ketua pegawai komersial F1, berkata: “Kami berbesar hati SIA akan terus menjadi penaja utama F1 Singapore Airlines Grand Prix Singapura.
“Singapura telah menjadi salah satu grand prix yang paling dikagumi dalam kalendar itu, dan melalui kerja keras dan dedikasi rakan kongsi seperti SIA, kami boleh terus menyampaikan acara yang begitu hebat.”
Digembar-gemburkan sebagai permata mahkota dalam kalendar F1, Grand Prix Singapura merupakan acara terserlah dalam kalendar sukan tahunan Republik ini, menurut The Straits Times.
Pada 2024, edisi ke-15 perlumbaan itu yang dimenangi oleh Lando Norris daripada McLaren telah menarik minat 269,072 peminat sepanjang tiga hari hujung minggu itu.
Rekod kehadiran untuk acara itu ialah 302,000 pada 2022, sebelum laluan perlumbaan itu ditukar – tidak melibatkan Float @ Marina Bay.
Bangunan yang tempat duduk bertingkatnya (‘grandstand’) boleh memuatkan 27,000 penonton, telah ditiadakan untuk memberi laluan kepada pembinaan NS Square.
Sejak edisi sulung pada 2008, Grand Prix Singapura telah meningkatkan ekonomi Singapura dengan menjana kira-kira $2 bilion dalam perbelanjaan pelancongan tambahan dan menarik perhatian lebih satu bilion penonton di seluruh dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg