Bakat lumba kereta tempatan, Christian Ho, telah memperoleh tempat dalam pasukan Dams Lucas Oil untuk musim Formula Tiga (F3) akan datang, seperti yang disahkan oleh pasukan dari Perancis itu pada 15 Januari.
Pemandu berusia 18 tahun itu, yang bakal mencipta sejarah sebagai pemandu F3 pertama dari Singapura, melengkapkan barisan pasukan Dams 2025 bersama Matias Zagazeta, 21 tahun, dari Peru, dan Nicola Lacorte, 17 tahun, dari Italy.
Pengumuman itu dibuat empat bulan selepas Ho, yang bercita-cita berlumba di Formula Satu (F1), menyatakan pada September bahawa beliau akan melangkah ke F3, dua peringkat di bawah F1 dalam hierarki perlumbaan motor Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Antara bintang F1 yang pernah melalui siri ini ialah pemandu baru Red Bull, Liam Lawson, dan Oscar Piastri daripada McLaren, yang merangkul gelaran F3 pada 2020.
Musim F3 akan bermula di Melbourne, Australia, dari 14 hingga 16 Mac, lapor The Straits Times.
Ia akan menyaksikan 30 pemandu daripada 10 pasukan bersaing dalam 20 perlumbaan sepanjang 10 pusingan.
Siri ini diadakan di acara sampingan grand prix F1, termasuk di lokasi ikonik seperti Silverstone di Britain, litar jalan Monaco dan Monza di Italy.
Ho, yang baru sahaja menamatkan musim Eurocup-3 2024 dengan kedudukan naib juara keseluruhan, meluahkan rasa teruja menyertai Dams – yang akan membuat penampilan sulung mereka dalam kejuaraan F3.
“Saya sangat berbangga menjadi pemandu F3 pertama dari Singapura.
“Dams Lucas Oil adalah pasukan yang kuat dengan banyak pengalaman dalam perlumbaan, dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka sambil mempelajari sebanyak mungkin,” katanya.
Ketika melangkah ke tahap seterusnya dalam kerjaya perlumbaannya, Ho bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran.
“Ini adalah musim pertama bagi saya dan pasukan berlumba dalam F3, dan pastinya akan ada cabaran atau rintangan sepanjang perjalanan, tetapi saya bersedia untuk menghadapinya.
“Saya mencatat prestasi yang hebat dalam Eurocup-3 2024 dan saya berharap dapat meneruskannya pada 2025.
“Kami berazam untuk kekal kompetitif dalam siri ini, yang merupakan antara paling mencabar di dunia.
“Oleh itu, kami akan terus bekerja keras dan memperbaiki diri untuk mencapai keputusan terbaik,” tambahnya.
Dams, yang berpangkalan di Le Mans, mempunyai sejarah cemerlang dalam dunia sukan motor dengan 173 kemenangan dan 31 gelaran dalam 15 kejuaraan berbeza sepanjang tiga dekad lalu.
Sebagai pasukan terkemuka dalam Formula 2 (F2), siri pengumpan utama F1, mereka telah melahirkan ramai pemandu F1, termasuk Pierre Gasly daripada Alpine, serta duo Williams, Carlos Sainz dari Sepanyol dan Alexander Albon dari Thailand.
Ho berharap dapat menjadi pemandu seterusnya yang melangkah ke puncak dunia perlumbaan motor.
Bekas pemandu F1 dan pemilik pasukan Dams, Charles Pic, berkata:
“Kami sangat gembira dapat menandatangani Christian.
“Prestasinya semasa ujian sangat mengagumkan dan beliau mempunyai rekod perlumbaan yang hebat.
“Ini adalah pencapaian hebat untuknya menjadi pemandu pertama dari negaranya yang bersaing dalam F3.
“Kami berpuas hati kerana barisan pasukan 2025 kami kini telah disahkan dan kami akan terus bekerja keras untuk berada dalam keadaan terbaik menjelang perlumbaan di Melbourne.”
“
Ini adalah musim pertama bagi saya dan pasukan berlumba dalam F3, dan pastinya akan ada cabaran atau rintangan sepanjang perjalanan, tetapi saya bersedia untuk menghadapinya. Saya mencatat prestasi yang hebat dalam Eurocup-3 2024 dan saya berharap dapat meneruskannya pada 2025. Kami berazam untuk kekal kompetitif dalam siri ini, yang merupakan antara paling mencabar di dunia.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg