Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA, Scoot larang guna ‘power bank’ dalam penerbangan mulai Apr

Bank kuasa dengan tampungan sehingga 100Wh boleh dibawa naik pesawat tanpa kelulusan khas
Mar 12, 2025 | 6:20 PM
Singapore Airlines (SIA) berkata penumpang boleh membawa bank kuasa dengan tampungan sehingga 100Wh di pesawat tanpa memerlukan kelulusan khas.
Singapore Airlines (SIA) berkata penumpang boleh membawa bank kuasa dengan tampungan sehingga 100Wh di pesawat tanpa memerlukan kelulusan khas. - Foto fail

Penumpang dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) atau Scoot tidak akan dibenarkan menggunakan ‘power bank’ atau bank kuasa untuk mengecas peranti peribadi mereka mulai 1 April.

Dalam satu hantaran Facebook pada 12 Mac, SIA berkata penumpang juga tidak dibenarkan untuk mengecas peranti mudah alih melalui port USB dalam pesawat sepanjang penerbangan, atas alasan keselamatan, lapor The Straits Times (ST).

“Kumpulan SIA mematuhi Peraturan Barang Berbahaya yang ditetapkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkenaan bank kuasa yang diklasifikasikan sebagai bateri litium,” kata SIA.

“Ini bermaksud bank kuasa mesti dibawa dalam bagasi kabin pada semua penerbangan SIA dan tidak dibenarkan dalam bagasi yang diperiksa,” jelas SIA.

Syarikat penerbangan itu menambah pelanggan boleh membawa bank kuasa dengan tampungan sehingga 100 Watt sejam (Wh) tanpa memerlukan kelulusan khas, manakala bank kuasa antara 100Wh hingga 160Wh memerlukan kelulusan daripada syarikat penerbangan.

Scoot, anak syarikat bajet SIA, juga mengeluarkan kenyataan serupa di halaman Facebook mereka.

Pada 2023, dua penumpang di penerbangan Scoot yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan ke Singapura cedera selepas bank kuasa mereka menjadi terlebih panas dan terbakar.

Keputusan SIA dibuat selepas beberapa insiden kebakaran kabin pesawat di seluruh dunia, dengan syarikat penerbangan seperti Thai Airways, AirAsia, serta syarikat penerbangan di Korea Selatan, melarang penumpang mengecas bank kuasa semasa penerbangan dan mengenakan sekatan pada ruang simpanan barangan di atas penumpang.

Pada awal Mac, sebuah video dari seorang penumpang di penerbangan Batik Air menunjukkan kabin pesawat dipenuhi asap – dipercayai dari bank kuasa yang terbakar – yang keluar dari ruang simpan barangan di bahagian atas penumpang.

Pada Januari, pesawat Air Busan terbakar ketika bersiap untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Korea Selatan. Insiden itu juga dilaporkan disebabkan oleh bank kuasa.

Pada 2024, tiga insiden bateri litium yang terlebih panas di pesawat dilaporkan setiap dua minggu secara sejagat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), berbanding kurang dari satu insiden seminggu pada 2018.

Menurut laman web SIA, pek bateri boleh cas semula, yang juga dikenali sebagai bank kuasa dianggap sebagai bateri litium ganti, yang tidak dibenarkan dalam bagasi yang diperiksa dan mesti dibawa sebagai bagasi kabin.

Butiran lanjut mengenai sekatan bagasi boleh didapati di laman web SIA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg