Syarikat penerbangan nasional, Singapore Airlines (SIA), dan anak syarikatnya yang menawar tambang rendah, Scoot, akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi di Asia susulan keputusan Jetstar Asia menamatkan operasinya pada 31 Julai ini.
Jetstar Asia, sebuah syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Singapura, mengendalikan kira-kira 180 perkhidmatan mingguan di Lapangan Terbang Changi dan telah membawa sekitar 2.3 juta penumpang sepanjang 2024, menyumbang kira-kira 3 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik lapangan terbang tersebut.
Syarikat penerbangan itu mengumumkan penutupannya pada 11 Jun lalu.
Bagi mengisi kekosongan itu, Scoot merancang memperkenalkan penerbangan baru ke Okinawa, Jepun dan Labuan Bajo, Indonesia – dua destinasi yang sebelum ini hanya dikendalikan Jetstar Asia dari Changi, lapor The Straits Times.
Jurucakap SIA berkata syarikat itu akan menyelaras semula jadual dan rangkaian penerbangannya bagi memenuhi permintaan perjalanan udara di rantau ini.
Menurut kenyataan SIA pada 12 Jun, langkah ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa penerbangan dan penyelarasan dengan rakan syarikat penerbangan dalam kumpulannya. Jadual penuh penerbangan akan diumumkan pada masa sesuai.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, Scoot dijangka meningkatkan kekerapan penerbangan ke Bangkok bermula Ogos kepada 39 kali seminggu berbanding 35 ketika ini.
Jumlah ini dijangka meningkat lagi kepada 42 penerbangan seminggu bermula 26 Oktober.
Mulai Ogos, Scoot akan meningkatkan penerbangan ke Pulau Pinang kepada 28 kali seminggu, berbanding 21 penerbangan ketika ini.
Bagi laluan Singapura - Manila, SIA akan menambah jumlah penerbangan daripada 28 kepada 35 seminggu.
Scoot juga akan terus mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Manila, namun separuh daripadanya akan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang lebih besar dan mampu memuatkan lebih 300 penumpang.
Ini sebagai pengganti kepada pesawat Airbus A320 dan A321 yang hanya mampu membawa antara 180 hingga 236 penumpang.
Scoot juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Clark, Filipina daripada lima kepada tujuh seminggu. Jetstar Asia sebelum ini telah menggantung laluan Singapura - Clark pada Mei lalu.
Antara 26 Oktober 2025 hingga 28 Mac 2026, lima lagi bandar di Asia akan menerima tambahan penerbangan sama ada daripada SIA atau Scoot.
Sepanjang tempoh ini, SIA merancang menambah tiga lagi penerbangan ke Colombo, Sri Lanka menjadikan jumlahnya 10 seminggu, serta tujuh lagi penerbangan ke Jakarta menjadikan keseluruhan 70 seminggu.
Bagi destinasi Phuket, SIA akan meningkatkan kekerapan daripada 30 kepada 35 seminggu, dan kemudiannya kepada 42 penerbangan mingguan. Ia juga akan menggunakan pesawat yang lebih besar untuk lebih banyak penerbangan ke Bali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg