Topic followed successfully
Go to BHkuSiaran langsung GE2025 raih Anugerah Impak Digital BH
Siaran langsung GE2025 raih Anugerah Impak Digital BH
Siaran langsung GE2025 raih Anugerah Impak Digital BH
Mesikupun ini kali pertama pasukan tujuh wanita dari Berita Harian (BH) bergabung untuk menghasilkan rancangan siaran langsung di dalam talian, mereka berjaya mencipta sebuah pengalaman digital pelbagai platform yang membawa detik penting Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) secara mendalam kepada pembaca.
Usaha selama dua minggu itu membawa tuah kepada mereka apabila disampaikan dengan Anugerah Impak Digital BH 2025.
Pasukan ini yang terdiri daripada Timbalan Editor Media Sosial, Cik Siti Aisyah Nordin, 34 tahun; Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin, 32 tahun; penyunting, Cik Nurfahruriza Ismail, 39 tahun; Penerbit Podcast NoTapis, Cik Natasha Hazirah Mustafa, 31 tahun; serta wartawan media sosial, Cik Ameerah Sallehuddin, 24 tahun, Cik Amira Syaheera Azlan, 32 tahun, dan Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim, 25 tahun, menerima anugerah itu pada majlis penyampaian Anugerah Tahunan Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media Trust 2025, di Auditorium SPH pada 5 Mei.
Ketika ditemui selepas majlis tersebut, beberapa ahli kumpulan itu berkata pengalaman itu bukan sahaja pencapaian besar, malah mencerminkan keberanian mereka mencuba sesuatu yang baharu.
Cik Natasha berkata: “Saya rasa ia merupakan pencapaian yang istimewa memandangkan kami lazimnya menulis rencana atau membuat kandungan ringkas di media sosial.
“Kami perlu menempuh proses pembelajaran yang sangat mencabar dalam masa yang singkat.”
Dari 24 April hingga 2 Mei, pasukan itu bertungkus-lumus menghasilkan dua siaran langsung setiap hari – yang pertama pada 12 tengah hari dan kemudian pada 7 malam – di TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.
Mereka juga mengundang beberapa pengamat politik untuk membuat analisis tentang perkembangan sepanjang kempen GE2025.
Cik Ameerah pula masih teringat kesibukan menghadiri perhimpunan pada lewat malam, menghadiri mesyuarat pada pagi seterusnya untuk membuat persiapan bagi siaran langsung yang pertama sepanjang tempoh itu.
Namun, kumpulan itu berjaya mengharungi pelbagai cabaran dengan kerjasama dan jalinan yang utuh.
Mereka bukan sahaja menggalas tugas berdasarkan kepakaran masing-masing, malah saling menambah baik apa jua kekurangan atau keperluan pasukan di mana diperlukan.
Mereka mengimbau kembali perasaan lega dan bangga sebaik sahaja menamatkan siaran langsung terakhir yang berlangsung selama kira-kira empat jam.
Di sebalik itu, mereka turut menzahirkan kesyukuran kerana berjaya mempertingkatkan kemahiran masing-masing setelah bekerjasama dengan kru penerbitan Studio+65.
“Mereka sangat ikhlas memberikan nasihat serta tunjuk ajar tentang cara mengendalikan siaran langsung dengan lebih berkesan. Segala-galanya berjalan lancar kerana setiap pihak dapat berkomunikasi dengan lancar,” kongsi Cik Ameerah.
Pada akhirnya, mereka teruja berjaya merapatkan jurang laporan berita secara tradisional dengan digital.
Berbekal pengalaman itu, mereka kini lebih berani dan yakin untuk meneroka kandungan digital yang baharu dan lebih kreatif pada masa hadapan.
“Akhirnya, saya rasa pengalaman ini bukan sahaja mencerminkan kebolehan kami untuk menyampaikan kandungan digital secara lebih meluas, malah juga membuktikan kerjasama dengan pihak lain mampu mempertingkatkan mutu kandungan kami,” ujar Cik Natasha.
