Seawal usia 14 tahun, koresponden Berita Harian (BH), Cik Nur Humaira Sajat, sudah mula berjinak-jinak menggilap bakat kewartawanan menerusi peraduan menulis laporan berita 24 Jam, Kem Obor 2009, anjuran akhbar ini.

Beliau dan pasukannya daripada Sekolah Menengah Perempuan Cedar memenangi tempat kedua dalam peraduan tersebut, dengan kenangan manis itu mencorak cita-citanya untuk bergelar wartawan suatu hari nanti.

Tambahan pula, ibunya ketika itu sentiasa mendorong Cik Nur Humaira, kini 31 tahun, agar membaca sumbangan cerpen di BH bagi memperkasa kosa katanya.

Sepanjang hampir lapan tahun bergelar wartawan sepenuh masa, lulusan komunikasi daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu diberi pendedahan dalam menulis laporan berita, menyelaras ruangan kembara, Kaki Jalan, malah baru diamanahkan tugas sebagai Ketua Lab BH bagi menyelia berita tular.

Setelah dicalonkan bagi Anugerah Wartawan Muda 2020, pintu rezeki bagi ibu dua anak berusia dua dan empat tahun itu terbuka luas dengan dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wartawan Terbaik BH pada majlis penyampaian Anugerah Tahunan Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media Trust 2025, di Auditorium SPH pada 5 Mei.

Rencana tulisan Cik Nur Humaira bertajuk Jemaah umrah S’pura ikut agensi M’sia, pakej lebih murah tetapi dinasihati agar berhati-hati juga merupakan antara calon Berita Terbaik BH.

Sebanyak 19 anugerah disampaikan kepada karyawan media daripada BH, The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Tech in Asia, SPH (Singapore Press Holdings) Radio dan Tamil Murasu (TM).

Seramai 12 wartawan BH pula dicalonkan bagi tiga kategori – Anugerah Wartawan Terbaik, Anugerah Berita Terbaik dan Anugerah Impak Digital Terbaik.

Anugerah Berita Terbaik diraih Syed Muhammad Firdaus, 29 tahun, menerusi laporannya bertajuk Mangsa gempa Kinabalu tawan puncak gunung sedekad selepas tragedi.

Tujuh pemenang bagi Anugerah Impak Digital Terbaik pula merupakan Cik Siti Aisyah Nordin, Cik Natasha Hazirah Mustafa, Cik Nur Fathin Awalludin, Cik Ameerah Sallehuddin, Cik Amira Syaheera Azlan, Cik Dian A’qidah Ahmad Yatim dan Cik Nurfahruriza Ismail.

Mereka diiktiraf bagi rancangan khusus berupa liputan langsung sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang lalu.

Mengulas kemenangannya, Cik Nur Humaira berkata pencapaiannya itu bukan sekadar hasil kerja keras peribadi, malah menonjolkan sokongan padu yang berterusan daripada keluarga, majikan dan rakan seperjuangan.

“Sebagai wartawan, kami tidak bekerja sendirian. Saya sentiasa mendapat sokongan rakan sekerja dan anggota keluarga saya, sama ada dalam bentuk dorongan mahupun perkongsian maklumat untuk menghasilkan laporan terbaik.

“Pada awal kerjaya saya, anggota keluarga turut memberi saya idea, malah bantu mencarikan orang untuk diwawancara bagi bahan berita saya termasuk kisah menarik tentang pasangan warga emas yang merupakan cinta pertama, terpisah dan kemudian bertemu pada usia senja untuk membina mahligai indah bersama,” ceritanya.

Sewaktu di NTU, Cik Nur Humaira bekerja sambil belajar di BH dan turut membuat kandungan digital bagi akhbar ini termasuk siri video muzik artis Singapura, Gah(Kustik).

Setelah bekerja sepenuh masa, salah satu laporannya yang disajikan dalam bentuk laporan berita dan video digital mengenai kisah seorang nenek berusia hampir 100 tahun menarik perhatian netizen dan mencecah lebih 5.7 juta kali tontonan.

Walaupun mencabar untuk mengimbangi kerjaya kewartawanan dengan tanggungjawab keluarga dengan dua anak kecil, maklum balas positif pembaca menjadi pemangkin semangat buat Cik Nur Humaira untuk memberikan yang terbaik.

“Saya sentiasa terharu apabila menerima e-mel daripada pembaca yang memberikan pujian dan melahirkan penghargaan mereka.

“Malah, saya lebih tersentuh apabila ada yang bertanya bagaimana mereka boleh membantu golongan memerlukan yang saya temu ramah dalam laporan saya.

“Berbekal anugerah ini, saya berhasrat membimbing dan bekerjasama dengan lebih ramai wartawan muda kerana mereka akan menjadi pelapis kami,” ujarnya, yang membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai $2,000.

Turut disampaikan ialah Anugerah Ketua Editor Keseluruhan yang dipilih daripada kalangan 18 pemenang tersebut.

Pemenang bagi kategori itu membawa pulang sebuah trofi serta hadiah wang tunai berjumlah $3,000.

Di sebalik meraikan pencapaian penerima anugerah, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:

“Wartawan memainkan peranan penting dalam menyuarakan isu-isu yang dihadapi masyarakat secara tidak berpihak.

“Semua pemenang anugerah daripada BH telah memainkan peranan ini dengan baik dan dengan cara yang menjiwai nilai kewartawanan sejagat, antaranya seperti kesungguhan mendapatkan berita yang tepat, mencerminkan keadaan yang sebenar berlaku di lapangan dan empati semasa mengumpulkan berita.”