Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan diganggu tailong selesai: Pas istimewa pekerja migran tidak dilanjutkan

May 31, 2024 | 3:22 PM
Pihak berkuasa berkata mereka tidak dapat menemui tailong yang didakwa.
Pihak berkuasa berkata mereka tidak dapat menemui tailong yang didakwa. - Foto ST

Pihak berkuasa telah memutuskan tidak melanjutkan pas istimewa pekerja migran asal Bangladesh, Encik Md Sharif Uddin, walaupun satu rayuan telah dibuat oleh seorang penduduk dari kawasan undi Perdana Menteri Lawrence Wong.

Pas istimewa Encik Sharif asalnya akan tamat pada 24 Mei, tetapi ia dilanjutkan sehingga 27 Mei, memandangkan permintaannya untuk masa tambahan bagi membuat urusan berlepas. Pihak berkuasa telah memberikan lanjutan tambahan sehingga 31 Mei, berdasarkan keadaan kesnya.

Penguasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata dalam satu kenyataan pada lewat 30 Mei bahawa mereka telah menyemak rayuan itu dan memutuskan tidak melanjutkan pas istimewa Encik Sharif. 

Pada pagi 31 Mei, Encik Sharif berkongsi tentang pemergiannya di Facebook, dengan gambarnya dan kawan-kawannya di lapangan terbang.

Encik Sharif telah dipecat oleh majikannya selepas dia mengadu diganggu tailong. Dia diberikan pas istimewa untuk kekal di Singapura sementara polis menyiasat kes itu.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata siasatan telah dibuat, tetapi mereka tidak dapat menemui tailong yang didakwa. Mereka juga berkata tidak ada bukti menunjukkan bahawa Encik Sharif telah meminjam wang daripada penjenayah serupa itu.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 Mei, Encik Sharif berkata PM Wong menulis surat rayuan berkenaan kesnya. Sehari sebelumnya, dua teman dari GRC Marsiling-Yew Tee, telah melihat PM Wong di Sesi Bertemu Rakyat bagi pihak Encik Sharif.

Menjelaskan mengapa mereka membuat keputusan tidak memberikan rayuan itu, ICA dan MOM berkata Encik Sharif telah diberikan masa mencukupi sejak permit kerjanya tamat pada 11 April untuk mendapatkan pekerjaan di bawah Skim Pekerjaan Sementara (TJS). Ini semasa siasatan polis terhadap laporan gangguan pemberi pinjaman tidak berlesen sedang dijalankan.

Pihak berkuasa berkata MOM dan Pusat Pekerja Migran telah menghubungkan Encik Sharif bersama agensi pekerjaan untuk menyokong pencarian kerjanya di bawah TJS.

Atas permintaan Encik Sharif pada 9 Mei, MOM juga telah memberikannya pengesahan e-mel tentang kelayakan TJS pada 13 Mei.

“Kami faham bahawa Encik Sharif telah menolak tawaran pekerjaan termasuk bekerja sebagai pengemas dan pembersih hotel. Memandangkan siasatan polis tentang kes itu sudah tamat, dan Encik Sharif masih belum mendapat pekerjaan baru, beliau perlu meninggalkan Singapura.

“Seandainya Encik Sharif mahu pulang ke Singapura untuk bekerja pada masa hadapan, beliau perlu memohon semula untuk mendapatkan permit pekerjaan berdasarkan kriteria semasa,” tambah ICA dan MOM.

Encik Sharif menafikan telah meminjam sebarang wang dan berkata beliau diberikan notis sebulan oleh majikannya, dengan hari terakhirnya bekerja dinyatakan dalam notis penamatan perkhidmatan mulai 12 April.

Encik Sharif, pekerja migran pertama memenangi Anugerah Buku Singapura bagi Tajuk Bukan Fiksyen Terbaik, dikenali kerana meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi pekerja migran yang tinggal di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg