Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan jerebu: 3 lagi syarikat berdaftar S’pura setuju lantik penilai
Siasatan jerebu: 3 lagi syarikat berdaftar S’pura setuju lantik penilai
Tiga lagi syarikat berdaftar di Singapura yang mungkin dikaitkan dengan kebakaran serantau sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan bersetuju menjalani penilaian panel pakar supaya mereka yang terbabit dipertanggungjawabkan.
Tiga syarikat itu ialah TSH Resources, Bumitama Agri dan Kencana Agri yang disenaraikan di Bursa Saham SGX.
TSH Resources tidak dinamakan secara langsung dalam notis Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), namun dua anak syarikatnya di Singapura, TSH Global Plantation dan TSH Oversea, adalah antara 10 penerima notis itu.
Lapan syarikat lain ialah APP Company, APP Company (China), Bumitama Agri, Golden Agri International, First Resources, Indofood Agri Resources, Kencana Agri dan Wilmar International.
Wakil syarikat terbabit menerima notis di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) dan dipanggil menghadiri mesyuarat tertutup pada 28 Oktober bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu.
Dalam mesyuarat itu, Encik Shanmugam mengarahkan mereka melantik firma daripada panel pakar bagi menyiasat secara menyeluruh operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan masing-masing.
Dalam pemakluman kepada Bursa Saham SGX pada 2 November, TSH Resources berkata pihaknya telah menulis kepada NEA mengesahkan bahawa kumpulan itu “amat berminat” melantik penilai daripada panel pemerintah secara sukarela dan atas perbelanjaan sendiri bagi menilai operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalannya berkaitan kebakaran di Indonesia yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.
Syarikat itu berkata pihaknya akan bekerjasama dengan penilai mengikut undang-undang, keperluan kawal selia dan arahan NEA.
Syarikat itu turut berkongsi kebimbangan pemerintah terhadap kesan kebakaran dan jerebu serta mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkuasa dan penilai bebas.
Bumitama Agri turut menyatakan kesediaan melantik penilai daripada panel pemerintah secara sukarela dan atas perbelanjaan sendiri.
Syarikat itu berkata pihaknya akan bekerjasama mengikut undang-undang, keperluan kawal selia dan arahan NEA.
Syarikat itu turut berkongsi kebimbangan pemerintah terhadap kebakaran dan jerebu serta mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkuasa dan penilai bebas.
Sementara itu, Kencana Agri memaklumkan kepada SGX pada 1 November bahawa pihaknya telah menulis kepada NEA pada 30 Oktober bagi mengesahkan pelantikan penilai secara sukarela dan atas perbelanjaan sendiri.
Syarikat itu berkata pihaknya akan bekerjasama mengikut undang-undang, keperluan kawal selia dan arahan NEA.
Syarikat itu turut berkongsi kebimbangan pemerintah dan mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkuasa serta penilai bebas.
Ketiga-tiga syarikat akan memberikan maklumat terkini apabila terdapat perkembangan penting.
Saham TSH Resources kekal pada 36 sen dalam dagangan pagi 2 November, manakala Kencana Agri pada 48 sen. Saham Bumitama Agri susut 3.29 peratus kepada $1.47.