Siasatan koroner berhubung kematian sepasang suami isteri dan anak perempuan remaja mereka yang terkorban dalam satu kebakaran di flat mereka di Hougang telah dibuka pada 21 September.

Mendiang Encik Lee Choon Geak, 62 tahun; isterinya, Cik Seow Siew Choo, 56 tahun; dan anaknya, Cik Grace Lee, 18 tahun; maut dalam kebakaran yang berlaku pada 9 Januari 2025 di sebuah unit tingkat tiga Blok 971 Hougang Street 91.

Keluarga berkenaan mempunyai tabiat mengumpul dan menyorok barang secara berlebihan atau ‘hoarding’, hingga memaksa anggota bomba mengalihkan barangan bagi membuka laluan untuk memasuki kediaman tersebut.

Mahkamah dimaklumkan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada soket dinding di bilik tidur utama, dengan barangan mudah terbakar berhampiran di dalam bilik berkenaan membuat api lebih marak.

Penduduk membuat sekitar 20 panggilan kepada pihak berkuasa pada kira-kira 12.40 tengah hari apabila asap hitam tebal mula menyelubungi unit berkenaan.

Leftenan Kolonel (LTC) Muhammad Faizal Mazlan daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberi keterangan bahawa anggota bomba menghadapi kesukaran dalam membuka pintu utama berikutan penimbunan barangan yang terlalu banyak di dalam unit berkenaan.

Inspektor Melvin Lim daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) pula memberitahu mahkamah bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah dimaklumkan mengenai isu sorok keluarga berkenaan pada 7 Februari 2024.

Keesokan harinya, pegawai HDB cuba bercakap dengan keluarga tersebut tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah.

Pegawai HDB mencuba sekali lagi pada September 2024 namun tetap ditolak, manakala sewaktu kunjungan pada Disember, tiada penghuni berada di rumah.

Sebulan selepas itu, ketiga-tiga ahli keluarga berkenaan terkorban dalam kebakaran tersebut.

Apabila pegawai polis tiba di tempat kejadian ketika kebakaran berlaku, mereka mengetuk pintu dengan kuat namun tiada penghuni yang menjawab.

Anggota bomba kemudian memaksa masuk ke dalam unit berkenaan dan menemui Encik Lee dalam keadaan duduk serta tidak sedarkan diri berhampiran pintu salah satu bilik tidur.

Beliau mengalami kelecuran dan disahkan maut akibat terhidu asap.

Anggota bomba turut menemui Cik Seow terbaring di atas katil lalu membawanya keluar daripada unit tersebut.

Mereka akhirnya menemui anak perempuan pasangan itu tertimbus di bawah timbunan serpihan di dalam bilik tidur berkenaan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa punca kematian Cik Seow tidak dapat dipastikan, manakala anak perempuannya maut akibat asfiksia, iaitu kekurangan oksigen akibat pernafasan yang terhalang.

Inspektor Lim berkata meskipun Cik Seow mengalami kecederaan melecur yang teruk, tiada sebarang kesan jelaga (zarah hitam halus) ditemui pada saluran pernafasan dan perutnya, yang menandakan bahawa kematian beliau mungkin berlaku sebelum kebakaran.

Beliau menambah, tiada sebarang perbuatan khianat disyaki dalam kes ini, dan keluarga berkenaan juga tidak pernah dilaporkan mempunyai perselisihan faham dengan jiran.

Inspektor Lim turut memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan mana-mana daripada tiga ahli keluarga tersebut mempunyai hasrat untuk membunuh diri, meskipun anak perempuan mereka pernah mendapatkan rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH) dari 2023 hingga 2024 antaranya disebabkan tekanan berkaitan keluarga dan kerja sekolah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti