Perikatan Untuk Bertindak (AfA) baru telah dilancarkan untuk menyelaraskan usaha pengurusan penimbunan dengan lebih baik dan menangani isu penimbunan dengan cara yang lebih holistik dan mampan.
Dinamakan Pasukan Tindakan Alam Sekitar Baru (Neat), pelancaran kumpulan itu telah diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 21 Januari.
Dalam satu kenyataan bersama, MND dan MSF berkata Neat dianggotai 28 anggota daripada agensi pemerintah, agensi perkhidmatan sosial, kumpulan masyarakat dan pertubuhan swasta.
“Anggota termasuk agensi perkhidmatan sosial yang mempunyai pengalaman luas menyokong penyorok barang dan mengesan kes berisiko, serta kumpulan masyarakat yang berpengalaman dalam membersihkan rumah atau berkawan dengan penyorok barang.
“Anggota juga termasuk persatuan perdagangan dan industri yang ingin membersihkan dan menyegarkan rumah,” jelas kenyataan itu.
Antara matlamat anggota Neat termasuk mengoptimumkan sumber dan sukarelawan yang ada untuk mengendalikan jumlah kes penimbunan, menggalakkan penglibatan keluarga dan masyarakat dalam mengenal pasti penyorok barang, serta mendekati dan menyokong penyorok barang.
Selain itu, anggota Neat juga diharapkan membangunkan kepakaran dalam kalangan agensi perkhidmatan sosial (SSA) untuk memupuk perubahan positif yang berkekalan dalam keadaan psikososial penyorok barang dan tingkah laku menyorok barang.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak Januari 2024, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) dan MSF telah terlibat secara aktif dan berunding dengan anggota Neat, dan telah menyertai beberapa SSA dan kumpulan masyarakat dalam operasi pembersihan mereka di Boon Lay, Buona Vista dan Pasir Ris.
“Semua anggota bersetuju bahawa pendekatan keseluruhan masyarakat boleh menambah baik pengurusan isu penimbunan dalam masyarakat,” ujar kenyataan tersebut.
Neat dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pula merupakan penasihat kumpulan itu.
Untuk menangani penimbunan secara holistik, Encik Lee berkata usaha dikehendaki melampaui sekadar membersihkan dan menyegarkan rumah.
“Kita perlu mewujudkan sistem sokongan yang teguh untuk mengubah tingkah laku, mengukuhkan sokongan masyarakat dan mencegah kemungkinan ia berulang lagi.
“Ini memerlukan kita membina hubungan jangka panjang dan kepercayaan dengan individu yang terjejas dan keluarga mereka, dan ia bukan satu tugas yang mudah.
“Neat akan menyatukan kepakaran kolektif anggotanya untuk melibatkan keluarga yang terjejas dengan lebih baik,” kongsi Encik Lee dalam kenyataan tersebut.
“
“Kita perlu mewujudkan sistem sokongan yang teguh untuk mengubah tingkah laku, mengukuhkan sokongan masyarakat dan mencegah kemungkinan ia berulang lagi. Ini memerlukan kita membina hubungan jangka panjang dan kepercayaan dengan individu yang terjejas dan keluarga mereka, dan ia bukan satu tugas yang mudah.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg