Memandangkan siasatan polis berhubung kes bilangan edaran palsu di Singapore Press Holdings Ltd (SPH) masih diteruskan, pemerintah tidak dapat mengulas dan memberi maklumat terkini mengenainya, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Encik Leong Mun Wai (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura) pada 3 April.

Pada Jun 2023, SPH Media Trust (SMT) memfailkan laporan polis selepas ia mendapati ada kemungkinan kesalahan dilakukan berhubungan jumlah edaran akhbar yang berlebihan.

Insiden itu terbongkar pada Januari 2023 apabila SMT menemui bilangan edaran berlebihan semasa semakan dalaman dilakukan antara September 2020 dan Mac 2022.

Pengauditan itu dilakukan untuk menilai data selepas SMT mengambil alih daripada syarikat pendahulunya, iaitu SPH.

Berikutan penemuan itu, beberapa pekerja kanan telah dikenakan tindakan atau meninggalkan syarikat itu.

SMT juga mengarahkan jawatankuasa audit dan risikonya meneliti lebih lanjut bilangan edaran keterlaluan dan mendapatkan penasihat undang-undang untuk membantu siasatan.

Pada Jun 2023, berikutan cadangan yang dibuat dalam laporan oleh jawatankuasa audit dan risiko, SMT memfailkan laporan polis selepas kemungkinan kesalahan didapati.

Dalam soalan berasingan, Cik Hazel Poa (NCMP) bertanya apakah SMT mengumpul dana daripada sumber selain daripada pemerintah.

Dalam jawapannya, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata pembiayaan pemerintah yang diberikan kepada SMT bertujuan menyokong bakat, teknologi, dan keupayaan vernakularnya.

Beliau juga berkata SPH Media boleh mengumpul pembiayaan sendiri secara bebas.

“SMT boleh secara bebas mengumpul dana daripada sumber lain, berdasarkan keputusan perniagaan dan keperluan operasinya.

“Maklumat mengenai kewangan SMT boleh diperoleh daripada Acra,” kata Cik Teo.